KUALA LUMPUR, 12 OGOS – Ketika negara-negara di dunia menyambut Hari Belia Antarabangsa pada Jumaat (12 Ogos), belia di seluruh dunia digesa untuk menghayati nilai-nilai kemanusiaan demi kebaikan umat manusia.
Pengerusi Majlis Belia Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), Michelle Chew (gambar-Bernama) berkata amat penting bagi setiap belia dilengkapi dengan prinsip asas kemanusiaan, kerana ia boleh membentuk tingkah laku atau sikap positif dan menggalakkan golongan muda untuk lebih sedar erti kesejahteraan umat manusia.
“Kami mahu belia melihat peristiwa seperti isu sosial, krisis hinggalah kepada bencana dan konflik melalui sudut pandang atau perspektif kemanusiaan. Sesetengah daripada mereka mungkin tidak terdedah dengan realiti yang kita hadapi hari ini, namun kita mesti menyedari bahawa peristiwa itu akan memberi kesan kepada kita walaupun secara tidak langsung,” kata Chew dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama di ibu pejabat MRCS di sini, baru-baru ini.
Chew yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai sukarelawan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyatakan bahawa dalam dunia yang semakin terpisah hari ini, kemanusiaan boleh menjadi alat penyatuan untuk memupuk perpaduan dan ‘mengingatkan kembali bahawa kita semua adalah insan.’
Sementara itu, lulusan sarjana muda Analitis Ekonomi dan Perniagaan di Monash University itu berkata, beliau dan pasukannya secara aktif mempromosikan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) kepada belia merentasi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga awal dewasa melalui pelbagai mekanisme interaktif.
Mekanisme yang diguna termasuk menganjurkan beberapa bengkel secara bersemuka dan maya, sesi dalam talian dan pertandingan kuiz untuk menarik perhatian anak muda selain meningkatkan kesedaran terhadap perkara penting itu bagi memupuk lebih ramai golongan muda yang memahami erti perikemanusiaan di Malaysia.
Beliau berkata Malaysia sudah melakukan banyak perkara dalam mempromosikan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), serta melancarkan buku panduan IHL untuk ahli parlimen Malaysia bersama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan MRCS di bangunan Parlimen, baru-baru ini.
“Selain itu, kerajaan Malaysia sejak 2007 telah memasukkan IHL ke dalam sukatan pelajaran pendidikan kebangsaan untuk pelajar tingkatan tiga di sekolah menengah.
“Ia dimasukkan satu bab dalam mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan dari 2007 hingga 2018. Mulai 2019 dan seterusnya, topik IHL menjadi sebahagian daripada pendidikan moral,” katanya sambil menambah bahawa pendidikan kemanusiaan adalah teras kepada apa yang sebenarnya dilakukan MRCS untuk pengukuhannya di peringkat sekolah.
IHL adalah satu set peraturan yang bertujuan, atas sebab kemanusiaan, untuk mengehadkan kesan konflik bersenjata.
Ia melindungi orang yang tidak, atau tidak lagi, mengambil bahagian dalam pertempuran (termasuk orang awam, pegawai perubatan, pekerja bantuan, tentera yang cedera, sakit dan karam, tawanan perang atau tahanan lain), dan mengenakan had ke atas cara dan kaedah peperangan. (contohnya, penggunaan senjata tertentu).
Chew berkata MRCS kini perlahan-lahan beralih daripada persepsi tradisional bahawa ia hanya aktif dalam pertolongan cemas, promosi kesihatan dan latihan kawad ke arah menyediakan lebih banyak peluang dan kemungkinan kepada belia masyarakat untuk meningkatkan pendedahan mereka dalam ekosistem Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.
“Ini penting kerana lebih 70 peratus keahlian kami adalah golongan belia dan kami mengiktiraf mereka sebagai pemimpin.” – Bernama