Monday, March 17, 2025
23.6 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Belia perlu inovatif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Komanwel meletakkan tanggungjawab dan harapan yang tinggi kepada golongan belia untuk memandu pembangunan masa kini dan hadapan Komanwel.

Oleh itu, melabur dalam belia amat kritikal bagi mencapai pembangunan inklusif, saksama dan mampan bagi generasi masa kini dan akan datang.

Bagi mencapai hasrat itu, strategi-strategi belia kebangsaan yang memenuhi keperluan perlu dirangka dan dilaksanakan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Patricia Scotland dalam ucapannya pada Perasmian Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Belia Komanwel (Rantau Asia) yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu khas pada perasmian mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan PYT Patricia bergambar ramai dengan ketua-ketua delegasi yang menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Belia Komanwel (Rantau Asia) yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, kelmarin.

Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pegawai-pegawai kanan dan perwakilan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

PYT Patricia Scotland dalam ucapannya berkata lagi bahawa menerusi mesyuarat itu, para delegasi akan berkongsi mengenai usaha yang dilaksanakan oleh mereka bagi pembangunan belia serta kaedah yang digunakan untuk menangani cabaran bagi mendapatkan impak ke arah keutamaan pembangunan belia.

Beliau berkata bahawa golongan muda mempunyai potensi yang tinggi untuk memandu perubahan positif dan oleh itu, kita perlu membuat pelaburan lebih banyak ke dalam belia. Beliau menyedari bahawa sumber adalah terhad dan terdapat banyak keutamaan kebangsaan yang perlu dipertimbangkan. Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa semua perlu menjadi lebih inovatif serta bekerjasama untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran.

Terdahulu Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku pengerusi mesyuarat dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa belia merupakan masa depan negara dan adalah agenda utama bagi semua negara, rantau dan organisasi antarabangsa di mana setiap agenda yang dilaksanakan bermatlamat untuk memanfaatkan bakat, kreati-viti dan tenaga dinamik mereka menggunakan pendekatan yang inklusif supaya dapat menawarkan pelbagai peluang dan cabaran kepada mereka.

Dalam hubungan itu, tambahnya, mereka harus terus mencari kaedah yang inovatif untuk mengetengahkan keutamaan mereka dan mentransformasikan cabaran-cabaran yang dihadapi mereka menjadi peluang.

Mengulas mengenai mesyuarat itu, Pengiran Mohd Amirrizal berharap sesi perkongsian para delegasi dapat mengenal pasti dan mencadangkan penyelesaian yang inovatif serta amalan terbaik yang boleh membantu merealisasikan potensi penuh belia menerusi pelan tindakan dan keutamaan praktikal bagi rantau Asia yang inklusif serta relevan bagi menangani cabaran-cabaran masa kini dan masa hadapan terutamanya yang timbul dari Revolusi Industri 4.0.

Mesyuarat selama tiga hari bermula kelmarin hingga esok itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua belia dan kumpulan pekerja belia serta rakan strategik dari tujuh buah negara Komanwel iaitu Negara Brunei Darussalam, Bangladesh, India, Malaysia, Pakistan, Singapura dan Sri Lanka.

Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil-wakil Sekretariat Komanwel; Program Pem-bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP); Persatuan Asia Selatan bagi Kerjasama Serantau (SAARC); Bank Pembangunan Asia (ADB); Singapore Youth Workers Association; Community the Youth Collective, India; Malaysia Youth Workers Association; Professional Youth Workers Association Sri Lanka; Majlis Belia Komanwel (CYC); Persatuan Pelajar-pelajar Komanwel (CSA), Universiti Putra Malaysia; Bangladesh Open University dan Open University of Sri Lanka.

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda