Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia perlu sentiasa rebut peluang

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Para belia khususnya di negara ini perlu merebut peluang yang ada sementara masih ada usia dan kekuatan.

    Al-Quran turut mengingatkan bahawa waktu tidak menunggu lama, dan satu saat yang terlepas tidak akan dapat kembali.

    Maka rebutlah lima perkara sebelum tibanya lima perkara iaitu masa muda sebelum tua, sihat sebelum datang masa sakit, waktu luang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.

    Perkara tersebut antara pengisian tazkirah yang bertajuk Belia Siaga Masa Depan disampaikan oleh ahli Persatuan Belia Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong, Awang Ahmad Fahmi bin Nona, sempena Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Beliau turut menekankan bahawa para belia negara perlu siap siaga untuk masa depan yang mempunyai wawasan (visi dan misi yang luas), berani menolak kebatilan dan kemaksiatan, berani menegakkan kebenaran agama, mempunyai iman yang kukuh dan cergas dan cerdas dalam merebut peluang-peluang dalam bidang keusahawanan.

    Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyertai program Malam Munajat kali ke-146 yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Terdahulu, program Malam Munajat kali ke-146 turut mengundang Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqi’ah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Imam Masjid RPN Kampung Bukit Beruang, Awang Muhammad Aisamuddin bin Haji Selaman, dari masjid berkenaan. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Awang Muhammad Hafiz Nur Adib bin Abdul Manaf, dari Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong.

    Selesai tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ketua Belia Masjid RPN Rataie, Awang Mohd Zulkhairi bin Mohd Azamy, bersama belia dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid (AJK) RPN Rataie dari Masjid RPN Rataie, Temburong.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat III, JHEM, Pengiran Muhammad Nur Firdaus bin Pengiran Haji Metussin, dari Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

    Malam Munajat mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala musibah, bala bencana dan penyakit merbahaya.

    Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu, malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda