Monday, April 21, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia prihatin isu alam sekitar

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seramai 54 orang peserta Perkhemahan Pemimpin-pemimpin Hijau ke-7 (GLC7) yang terdiri daripada kalangan belia berusia antara 14 hingga 29 tahun, hari ini diraikan dalam majlis penutup yang berlangsung di Rimba Garden Central.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis petang tadi ialah Menteri Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku pengurus projek GLC7 dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Marzuke bin Haji Mohsin.

    Sesi Dialog Belia bersama Menteri mengenai Perubahan Iklim sempena perkhemahan berkenaan telah dipengerusikan oleh Awang Nadzri Harif dengan ahli penalnya terdiri daripada Yang Berhormat Menteri Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian; Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa dan timbalan menteri Pembangunan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika menyampaikan ceramah bertajuk, Youth Tackling Climate Change turut menyentuh mengenai perkembangan positif yang ditunjukkan oleh para belia di negara ini dalam sama-sama mengambil peranan yang sungguh bermakna demi menjaga kesejahteraan dan memelihara alam persekitaran negara.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny ketika menjawab soalan yang diajukan oleh para peserta GLC7 semasa sesi dialog, kelmarin.
    Antara peserta yang hadir pada Majlis Penutup GLC7.

    Menurut Yang Berhormat Menteri Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, perkembangan lain yang dapat dilihat ialah peningkatan penglibatan perusahaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu berhubung dengan iklim.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa petang tadi antara lain menjelaskan mengenai konsep perkhemahan yang cenderung kepada mempelajari kesan daripada perubahan iklim dan beberapa impaknya terhadap alam sekitar di negara ini.

    Dalam pada itu, majlis juga menyaksikan beberapa pameran mini dalam penjagaan alam sekitar seperti AgromeIQ, Bambulooh, BruWILD, Kaleidoscope Studio, Nutty Scientists, Plethora, Reef Check Brunei, Suitable Reusables dan Zero Waste Brunei serta Big BWN Project.

    GLC7 merupakan acara anjuran Green Brunei dengan kerjasama Brunei Climate Change Secretariat (BCCS), Kementerian Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian dan turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

    Antara penaja perkhemahan berkenaan ialah Progresif Cellular Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd, Makan Ceria Sdn Bhd dan Fuel’d.

    Sementara itu, penaja bagi majlis penutup dan dialog belia petang tadi ialah Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Hengyi Industries Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda