Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Rombongan seramai 10 orang belia Republik Korea yang sedang menyertai Program Pertukaran Belia ke negara ini telah diraikan pada Majlis Resepsi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama Peserta Program Pertukaran Belia Republik Korea yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir ke majlis resepsi berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won-Myung.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid serta pegawai-pegawai kanan KKBS.
Rombongan belia yang diketuai oleh Pegawai dari Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga Republik Korea, Baek Hyeonseok berkenaan telah berada di Negara Brunei Darussalam sejak 31 Oktober lalu dan akan berada di negara ini hingga 9 November.
Hubungan persahabatan dan persefahaman Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea semakin kukuh dan terjalin erat dengan adanya Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea yang merupakan salah satu daripada program di bawah perjanjian kerjasama mengenai belia yang telah dimeterai di antara kedua-dua buah kerajaan dan dipersetujui pada 10 Februari 2010.

Program berkenaan mula dilaksanakan pada tahun 2011 dan pada tahun ini merupakan kali ketujuh program tersebut diadakan yang mana pada 7 hingga 16 Ogos lalu, rombongan Negara Brunei Darussalam telah membuat lawatan pertukaran ke Republik Korea.
Setakat ini, seramai 70 orang belia dari Negara Brunei Darussalam dan 70 orang belia dari Republik Korea telah menyertai program pertukaran belia berkenaan.
Program itu antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia kedua-dua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan.