Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia syumul penerus negara

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Belia syumul mempunyai ketahanan diri yang kukuh dan mantap dengan keimanan yang teguh, pengetahuan dan kemahiran di pelbagai bidang serta akhlak dan keperibadian yang mulia dalam menghadapi hambatan dan cabaran globalisasi.

    Belia syumul juga bukan sahaja dapat menyumbang kepada pembangunan negara tetapi mereka juga dapat membentuk dan melahirkan sebuah masyarakat dan negara yang mantap dan kukuh lagi hidup harmoni, beragama dan berbudaya selaras dengan konsep negara Melayu Islam Beraja dan ke arah matlamat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

    “Ke arah itu, program-program kerjasama dalam bidang berkaitan dengan pembangunan modal insan yang seimbang dengan tuntutan duniawi dan ukhrawi akan diteruskan dan dipertingkatkan lagi, sama ada yang melibatkan agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam sama-sama berganding bahu dan bersatu ke arah melahirkan generasi belia syumul yang dapat menjadi harapan negara di masa hadapan. Dalam waktu yang sama, akan dapat menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang salah satu matlamatnya ialah untuk menjadikan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran & Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah ketika berucap di Majlis Penutup Rasmi Perkampungan Belia Syumul 2018 yang berlangsung di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU, hari ini.

    Awang Roslan dalam ucapannya turut menekankan pentingnya kerja berpasukan di mana ia dapat membantu seseorang individu untuk meningkatkan kemahiran diri seperti kebolehan berkomunikasi, penampilan diri dan meningkatkan tahap keyakinan diri.

    Awang Roslan menyampaikan sijil penyertaan kepada belia yang menyertai Perkampungan Belia Syumul 2018.

    Melalui kerja berpasukan juga, jelasnya, masing-masing akan memperoleh manfaat apabila berlaku interaksi antara idea-idea yang dilontarkan dan masing-masing juga hendaklah bersikap positif dan berlapang dada dalam menerima cadangan serta pandangan dan sama-sama menilai pandangan yang relevan serta yang terbaik untuk dilaksanakan.

    Beliau juga menekankan bahawa golongan belia negara harus memiliki tiga sifat utama iaitu beriman, berilmu dan berakhlak mulia bagi menjana kemajuan negara pada masa akan datang.

    “Saya berharap Perkampungan Belia Syumul ini akan dapat melahirkan dan membangunkan belia-belia yang seimbang dari aspek lahiriah dan rohaniah. Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual,” tekannya.

    Perkampungan Belia Syumul 2018 merupakan kali ketiga dilaksanakan yang berjalan selama tiga hari dua malam dari 26 hingga 28 Februari di Asrama Bangunan Darul Huda, PDI, KHEU.

    Perkampungan itu dihadiri oleh seramai 30 orang terdiri dari belia perempuan daripada kalangan ahli sukarelawan Belia Daie, belia mualaf, orang perseorangan, mahasiswi-mahasiswi dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

    Program perkampungan itu bermatlamat untuk membina semangat juang dan jati diri dengan meningkatkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan belia, membentuk modal insan yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani, disiplin dan intelek.

    Ia juga sebagai persediaan mengharungi masa depan, melahirkan insan mulia yang akan menjadi pembimbing rakan sebaya dalam menghadapi masalah dan membanteras gejala negatif, menyemai semangat bekerjasama dalam satu pasukan serta masyarakat tidak kira walau apa pun bidang yang diceburi dan meningkatkan keupayaan, disiplin dan jati diri belia dalam menghadapi apa juga suasana dan cabaran di era globalisasi.

    Perkampungan itu diisikan dengan aktiviti membina semangat berpasukan, aktiviti kepimpinan, sembahyang fardu berjemaah, menghalusi pergerakan dan bacaan sembahyang, tazkirah (From Zero To Hero dan Pemilihan Jodoh), Qiamullail, kuliah subuh (Hatiku Milik Siapa dan Aku dan Al-Quran), Kuiz Zihnul Islam, Malam Persembahan Keagamaan, lawatan ke Kampung Putat dan khidmat masyarakat di Kampung Batu Marang.

    Manakala itu, fasilitator sepanjang perkampungan tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai dari PDI dan Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Jabatan Belia dan Sukan, Di’s Brain dan dua orang ahli sukarelawan Belia Daie.

    Perkampungan itu dihasratkan dapat mencapai objektif dan peranan Unit Belia untuk melahirkan belia yang beriman, berakhlak, berilmu, berupaya, berkemahiran, berdedikasi, integriti, berkualiti, produktif, dinamik dan kreatif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda