Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Ketika Negara Brunei Darussalam berdepan dengan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, belia negara bangkit berganding bahu menyumbangkan tenaga dan sokongan kepada Kementerian Kesihatan apabila diperlukan dalam menangani wabak.
Sejak wabak kembali menular lebih seminggu yang lalu, lebih 300 orang belia telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Ketua Sekretariat Sukarelawan Belia COVID-19, Awang Muhammad Abdul Wafi bin Haji Sofian semasa temui di Pusat Operasi Indoor, hari ini.
Beliau seterusnya menambah, setakat ini jumlah sukarelawan yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu adalah mencukupi tetapi mereka masih mengalu-alukan penyertaan belia untuk tampil memberikan sokongan dan bantuan tenaga mereka.
“Belia-belia yang menjadi sukarelawan untuk misi ini, akan dilengkapi dengan beberapa garis panduan untuk menjaga keselamatan mereka.
Beliau menjelaskan, sebelum bersetuju, sukarelawan akan diberikan penerangan dengan jelas bukan saja mengenai waktu-waktu dan lokasi yang akan ditempatkan tetapi kesanggupan mereka untuk menyertai sukarelawan yang diperlukan pada bila-bila masa.
“Sebaik saja mereka menerima dan berkesanggupan menjadi sukarelawan, mereka akan ditempatkan di lokasi yang dikehendaki bagi membantu dan sebelum itu mereka juga akan menerima penerangan bukan saja mengenai tugas masing-masing malah mengenai keselamatan diri,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, mana-mana sukarelawan yang ditempatkan di lokasi yang berisiko tinggi akan dipantau ketat oleh Kementerian Kesihatan sendiri.
Baru-baru ini, ujar beliau, mereka juga dikehendaki untuk menghantar sukarelawan ke Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong sebagai pusat tambahan bagi menempatkan pesakit COVID-19.
“Untuk gelombang kedua ini, kami menggalakkan belia-belia yang berumur antara 18 hingga 35 tahun,” tambahnya.
Beliau seterusnya menyeru kepada belia-belia untuk tampil ke hadapan menyumbang bakti kepada negara semasa pandemik ini dan sama-sama membantu pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan pandemik COVID-19.
“Dengan penglibatan belia-belia ini, ia akan sedikit sebanyak dapat membantu pihak kementerian dalam menangani wabak ini,” jelasnya.
Di samping itu, belia-belia yang baru menyertai sukarelawan berkenaan dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka, sarung tangan dan juga apron jika dikehendaki.
Sejak Sukarelawan Belia yang ditubuhkan bagi Operasi Sukarelawan COVID-19 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada Mac 2020, telah mencatatkan lebih 3,000 sukarelawan belia.