Tuesday, September 27, 2022
22.3 C
Brunei

Belia tidak kekok jadi jurumandi jenazah

-

KUALA BERANG – Jurumandi jenazah bukan sahaja bidang yang jarang menjadi pilihan, malah ia agak ‘digeruni’ terutama bagi golongan muda.

Namun berbekalkan semangat ingin tahu yang tinggi dan berhasrat menunaikan fardu kifayah itu, Nur Akmaliah Alias telah bergelar sebagai pembantu jurumandi jenazah dan menguruskan lebih 50 kematian sejak berusia 18 tahun lagi.

Pelajar Sarjana Kesusasteraan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini berumur 26 tahun itu, mengikut jejak langkah ibunya Rosmawati Abdullah, 53, yang merupakan seorang jurumandi jenazah.

“Segalanya bermula apabila saya mengikuti ibu memberi kursus pengurusan jenazah kepada orang kampung. Apabila tiba sesi amali mengkafankan jenazah, tiada siapa yang mahu menjadi model atau berlakon sebagai jenazah.

Jadi ibu menyuruh saya berlakon (sebagai jenazah).

Berbekalkan semangat ingin tahu yang tinggi dan berhasrat menunaikan fardu kifayah Nur Akmaliah kini mengikut jejak langkah ibunya sebagai jurumandi jenazah dan telah menguruskan lebih 50 kematian. – Bernama
Antara kelengkapan yang perlu ada untuk mengurus jenazah. – Bernama
Nur Akmaliah Alias (kiri) yang kini bergelar sebagai pembantu jurumandi jenazah sentiasa mendapat bimbingan daripada ibunya Rosmawati Abdullah sebagai jurumandi jenazah mengenai pengurusan jenazah semasa ditemui di Jalan Seri Berang, Hulu Terengganu. – Bernama

“Semasa ‘dikafankan’ itu timbul keinsafan dalam diri dan saya rasa saya perlu belajar memandikan dan menguruskan jenazah, kerana akhirnya kita semua walau siapa sahaja di dunia ini, akan ke situ (meninggal dunia) juga,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Jalan Seri Berang di sini.

Katanya beliau tidak akan melupakan pengalaman menguruskan jenazah pesakit HIV tiga tahun lalu, yang memerlukannya memakai dua lapis sut perlindungan diri (PPE), dan terpaksa menahan kesedihan melihat keadaan jenazah yang menyayat hati.

Dalam pada itu gadis manis ini menyeru golongan muda sepertinya supaya menuntut ilmu berkaitan pengurusan jenazah, kerana bidang itu kini kebanyakannya hanya diceburi golongan yang lebih berusia.

“Kalau tidak ada orang muda mempelajari pengurusan jenazah, siapa yang akan jadi pelapis nanti.

Ini fardu kifayah, kita kena tahu supaya kalau ada ahli keluarga meninggal kita sudah tahu apa yang perlu dibuat.

Saya juga sarankan ibu dan bapa kalau menyertai kursus pengurusan jenazah, bawalah anak-anak remaja mereka bersama,” katanya.

Selain Nur Akmaliah, dua abangnya iaitu Mohd Sallehuddin, 36, dan Mohd Imran, 34, turut mempunyai Sijil Pembantu Jurumandi Jenazah, manakala ibunya memiliki Sijil Jurumandi Jenazah.

Sementara itu bagi seorang pemuda Muhammad Nuridzzuan Abd Rashid, 25, menguruskan jenazah yang kehilangan anggota badan, berbau busuk dan telah reput, merupakan antara cabaran yang terpaksa dihadapinya sejak menjadi pembantu jurumandi jenazah empat tahun lalu.

Namun katanya situasi tersebut tidak pernah menghalangnya untuk terus menguruskan jenazah, kerana ingin berbakti kepada masyarakat selain mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang itu.

Beliau yang juga bekerja sebagai tukang gunting rambut itu, menganggap pengalamannya menguruskan hampir 50 jenazah pesakit COVID-19 sebagai sesuatu yang sangat berharga dan tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayatnya.

“Semasa pandemik COVID-19 sedang mengganas di Malaysia, Hospital Hulu Terengganu di sini merupakan antara hospital utama di negeri ini, dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan pesakit wabak itu.

“Jadi memang kerap saya ikut serta menguruskan jenazah dengan memakai PPE,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Telaga.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata kerjaya sebagai pembantu jurumandi jenazah turut menuntut pengorbanan masa, kerana waktu kerja yang tidak menentu.

“Ada masa pukul 1 pagi saya terpaksa ke hospital menguruskan jenazah. Pernah juga sewaktu sedang menggunting rambut pelanggan saya terpaksa bergegas kerana ada kematian. Apa boleh buat, itu memang minat saya,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas bot terbalik, ragut 24 jiwa

DHAKA, 25 SEPT – Sekurang-kurangnya 24 orang lemas manakala 24 lagi masih hilang selepas bot yang sarat membawa penganut Hindu terbalik di sebuah sungai...
- Advertisment -