Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Dalam era penuh pancaroba ini, Al-Quran memainkan peranan penting untuk menyuluh semua kegelapan dan di sinilah peranan belia kerana merekalah suara zaman yang lantang untuk menyuarakan segala harapan.
Suara itu pastinya akan didengar oleh semua peringkat dalam apa jua keadaan. Belia harapan bukanlah kerana namanya ‘belia’ tetapi harapan di sini ialah tonggak untuk membawa perubahan-perubahan besar kepada masyarakat termasuk mengubah gaya dan budaya yang tidak baik kepada yang baik atau lebih baik.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan peranan belia itu ketika berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara ke-9, 1441H/2019M di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas malam ini.
Semua perubahan ini boleh dicapai dengan bersuluh atau berpandu kepada Al-Quran kerana hebatnya Al-Quran sebagai penunjuk jalan untuk kita sampai kepada kesempurnaan. Al-Quranlah pelita sepanjang zaman, cahaya yang menerangi kehidupan, tekan Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi.
Baginda turut bertitah mengajak umat Islam untuk bersedia merawat diri dan keadaan dengan Al-Quran kerana Al-Quran mampu mengubat penyakit-penyakit zaman seandainya manusia mahu.


Tidak semua orang mahu menghampiri Al-Quran dan kerana itulah penyakit zaman masih banyak lagi yang belum terubat namun umat Islam seharusnya tidak perlu menunggu dunia berminat kepada Al-Quran tetapi bertindak merawat persekitaran kita sendiri dengan Al-Quran agar zaman kita sentiasa sihat dan gemilang, titah Baginda.
Baginda turut gembira matlamat musabaqah adalah untuk membentuk generasi belia yang menghayati Al-Quran kerana dengan penghayatan, para belia Insya-Allah akan beroleh penghidupan lebih baik lagi berkat, sempurna keperibadian dan akhlak.
Sehubungan itu, Baginda berharap lebih ramai para belia mesra Al-Quran dilahirkan sama ada melalui usaha-usaha persendirian mahupun menerusi Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara seumpama ini.
Baginda turut menekankan agar umat Islam terus menjadikan Al-Quran sebagai teman rapat dan tidak berenggang daripadanya kerana sesiapa yang menjadikan Al-Quran sebagai temannya, akan beroleh keselamatan di dunia dan akhirat.
“Menjadikan Al-Quran itu teman, bukanlah dengan menggendong naskhahnya, tetapi membacanya, mempelajari dan mengamalkan segala ajarannya,” tegas Baginda.
Terdahulu, Baginda mengucapkan tahniah kepada para pemenang musabaqah tersebut dan semua peserta yang mengambil bahagian bagi menyemarakkan lagi semangat kesatuan mengagungkan kitab suci Al-Quran.