Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Dengan cuti persekolahan penggal kedua yang baharu sahaja bermula, sudah pasti pelbagai pihak turut mengadakan beberapa aktiviti untuk mengisi masa cuti dengan aktiviti yang berfaedah.
Sementara itu, beliawanis dan Muslimah dari Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba kelmarin telah mengadakan muzakarah hari silaturahim dengan Kumpulan Husna Hurul ‘Ain (HHA).
Aktiviti muzakarah itu merupakan inisiatif khidmat Kumpulan HHA yang diketuai oleh Dayang Sarsinah binti Haji Mohd Yusof, yang mana aktiviti itu juga melatih beliawanis untuk membiasakan diri dalam membuat aktiviti berkebajikan seperti jualan amal.
Selain daripada aktiviti jualan amal, mereka juga digalakkan menghulurkan infak bagi menyemaikan sifat pemedulian dan melahirkan beliawanis yang bertanggungjawab, berdisiplin, dinamik dan semangat bersatu padu dan cekal.
Dengan aktiviti seumpama itu, ianya diharapkan dapat mendekatkan hubungan silaturahim di antara Kumpulan HHA di samping melahirkan sahsiah dan membentuk peribadi yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah.
Acara dimeriahkan dengan menguji minda yang antaranya aktiviti kuiz tajwid yang berkaitan dengan bacaan Al-Quran dan acara turut diserikan dengan persembahan tausyeh oleh beliawanis HHA.


