Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bell tak sangka dapat kereta

    Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri, 43, menerima hadiah kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan pengedar kenderaan import milik Bumiputera, DTC Motors Sdn Bhd di premis syarikat berkenaan di Jalan Ampang di sini, hari ini.

    Kereta bernilai kira-kira RM200,000 itu diserahkan kepada Bell oleh Penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DTC Motors, Afendy Wahid.

    Yang turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzaman dan Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

    Mengulas hadiah yang diterimanya itu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata beliau tidak menyangka akan menerima hadiah sebesar itu.

    “Saya langsung tidak sangka akan dapat kereta kerana hadiah yang saya terima iaitu Bintang Paling Popular itu sudah cukup besar buat saya.

    “Walaupun ada yang mempersoalkan kenapa saya tak dapat hadiah kereta seperti yang pernah diterima pemenang terdahulu, saya tak pernah ambil peduli pun kata-kata seperti itu.

    “Apabila saya diberitahu ada pihak hendak hadiahkan kereta, saya terima sahaja kereta apa yang mereka nak beri. Kereta kancil pun saya terima.

    “Alhamdulillah, saya sangat suka dengan kereta ini kerana menepati cita rasa, selain menjadi kereta idaman saya dan isteri,” katanya ketika pada sidang media selepas acara penyerahan kereta itu di sini, kelmarin. – Agensi

    Bell menerima hadiah kereta jenis Mini Cooper Clubman S sumbangan peribadi pengedar kenderaan import milik Bumiputera, DTC Motors Sdn Bhd di premis syarikat berkenaan di Jalan Ampang. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda