Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah mendakwa sambutan Aidilfitri bersama anak-anak meriah tanpa kehadiran suami, Aliff Aziz, lapor BH Online.
Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata, dua anaknya iaitu Mohamed Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, tidak bertanya mengapa Aliff tiada bersama mereka.
“Setakat ini, Ayden dengan Ara tiada apa-apa masalah sebab mereka rapat dengan Bella.
“Saya alihkan perhatian mereka dengan main bunga api. Saya juga ajak kawan-kawan datang rumah dan beri duit raya iaitu kepada ibu dan bapa saya.
“Anak-anak gembira sahaja. Lagipun, mereka rapat dengan atuk dan nenek mereka.
“Mereka tidak berkesempatan lagi berraya dengan bapa mereka dan saya tiada perancangan untuk temukan mereka,” katanya ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri anjuran Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings kelmarin.
Bella menambah sejak memfailkan perceraian bulan lalu, dia dan Aliff tidak berhubung dan fokus dengan perjalanan hidup masing-masing.
“Saya sendiri pun tidak pasti Aliff berhubung dengan keluarga atau tidak. Selepas prosiding di Mahkamah Syariah, saya tidak jumpa dan berhubung dengan dia. Bukan tidak mahu berjumpa, tetapi belum ada kesempatan,” katanya.
Sementara itu, mengenai tindakan Aliff memuat naik video pendek memaparkan dirinya tersenyum dengan berlatarkan lagu yang antara lain liriknya menyebut sejak seseorang tiada, dia mampu bernafas, Bella enggan mengulasnya.
“Tiada komen. Tidak apalah, mungkin dia suka lagu itu. Tetapi saya tidak pernah dengar pun dia nyanyi lagu tu.
“Lagu yang saya muat naik di TikTok itu bukanlah lagu balas. Sebaliknya, hantaran itu adalah untuk ulasan produk,” katanya. – Agensi