Walaupun tubuhnya kecil namun penyanyi Bella Astillah menyentuh hati orang ramai apabila dilihat mendukung adik perempuannya ketika menuruni Gunung Kinabalu di Sabah.
Cerita Didi Astillah, 29, ketika itu dia mengalami keletihan apabila terpaksa melalui perjalanan sukar sebelum Bella menawarkan diri mendukungnya.
Memetik laporan mStar, pada awalnya kata Didi, dia dipujuk meneruskan perjalanan namun disebabkan sudah tidak mampu Bella mendukungnya dan mereka meneruskan perjalanan pulang.
“Masa ini sudah mula rasa tak larat yang teramat sangat dan panik bila tengok tempat tinggi, rasa gayat sampai menangis.
“Kak Long (Bella) pujuk dan angkat terus masa ini,” katanya.
Dia berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya kelmarin.
Dalam hantaran tersebut, dia turut memuat naik video memaparkan Bella, 31, sedang mengendongnya sambil menuruni gunung berkenaan. Malah dia turut memuji Bella sebagai kakak yang terbaik pernah dia miliki.
“Kakak sendiri jadi malim gunung. Bella memang Kak Long terbaik dalam dunia!,” luahnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai yang rata-rata kagum melihat kekuatan dan kasih sayang Bella terhadap adiknya.
Sebelum ini, Bella berkongsi dia berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu bersama Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan berpakaian tradisional Melayu. – Agensi