“Mereka tidak tahu apa-apa, sebab saya selalu bagi alasan bapa mereka kerja,” katanya.
Demikian kenyataan pelakon, Bella Astillah, 29, yang memfailkan perceraian daripada suami, Aliff Aziz, 33, kelmarin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.
Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12:30 tengah hari tadi ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah. Bagaimanapun, Aliff tidak hadir.
Kongsi lanjut mengenai anak-anak, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, anak-anaknya masih mentah untuk mengetahui apa yang terjadi.
“Mereka tidak tahu apa-apa, sebab saya selalu bagi alasan ayah kerja dan mereka pun tak main telefon. Macam Mohamed Ayden Adrean bersekolah di sekolah kebangsaan Cina, jadi tak dengar apa-apa berita.
“Saya pesan Aliff buat seperti biasa bila jumpa anak-anak. Saya takkan tetapkan apa-apa syarat.
“Belum masanya untuk cerita kepada anak-anak sebab mereka takkan faham situasi ini,” katanya kepada BH Online.
Bercakap soal harapan, Bella berkata dia harap berpisah secara baik dengan Aliff dan memperbaiki diri masing-masing ke arah kebaikan.
“Saya cuma berharap benda ini berlalu dengan cepat dan dapat menjalani hidup masing-masing. Semoga apa yang terjadi dapat perbaiki diri, ini juga pesanan untuk diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengapa dirinya nekad, Bella berkata, dia membuat keputusan demi kebaikan masing-masing.
“Apa yang buat saya jadi nekad ialah peluang demi peluang sudah diberikan. Bagaimanapun, Aliff tetap ayah kepada anak-anak saya.
“Saya mahu bercerai secara baik. Apa yang terjadi pastinya ada hikmah.
“Cinta semestinya harus memiliki, jadi saya sentiasa mendoakan yang baik untuk diri masing-masing,” katanya. – Agensi


