Wednesday, November 6, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bellingham hargai staf sokongan

    GELSENKIRCHEN, 17 JUN – Jude Bellingham berkata sambutan ‘serigala’ bersama Trent Alexander-Arnold selepas menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 England ke atas Serbia untuk memulakan kempen Euro 2024 mereka adalah sebagai satu tanda penghargaan kepada staf sokongan.

    Bellingham dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan di Gelsenkirchen atas persembahan cemerlangnya yang menyinari malam pembukaan yang agak hambar bagi ‘Three Lions’ di Jerman.

    Pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan gol dengan tandukan ke sudut atas pada minit 13 hasil hantaran silang Bukayo Saka sebelum berlutut bersama pemain Liverpool, Alexander-Arnold ketika mereka berdua menutup muka dengan sebelah tangan.

    “Sambutan itu adalah daripada permainan yang kami mainkan yang dipanggil ‘Wolf’ dan salah seorang staf selalu memegang mukanya seperti itu apabila dia tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata Bellingham.

    “Jadi, ia lebih kepada sambutan untuk staf sokongan yang melakukan begitu banyak kerja setiap hari dan mereka tidak akan menerima apa-apa anugerah seperti ini (trofi pemain terbaik perlawanan) atau menikmati detik-detik yang kami alami di padang.

    “Tetapi kami sangat menghargai mereka dan penting untuk mengekalkan suasana seperti ini sepanjang kejohanan.”

    Permainan yang dimaksudkan adalah permainan misteri pembunuhan dan melibatkan seorang pemain dipilih sebagai ‘serigala’, manakala semua orang menutup mata, dengan yang lain kemudian perlu menentukan siapa yang dipilih. – AFP

    Reaksi Bellingham bersama Alexander-Arnold selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan Euro 2024 Kumpulan C antara Serbia dan England di Arena AufSchalke di Gelsenkirchen pada 16 Jun 2024. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda