Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bellingham lebih bagus dari apa yang disangka’ – Alonso

    MADRID, 27 OKT – Jurulatih Real Madrid, Xabi Alonso, memuji prestasi Jude Bellingham yang menyumbang gol penentu dalam perlawanan Clasico kelmarin selepas kembali daripada pembedahan bahu.

    Bellingham menjaringkan gol kedua Madrid dalam kemenangan 2-1 La Liga mereka ke atas Barcelona dan menyediakan gol pertama untuk Kylian Mbappe, susulan prestasi baiknya menjaringkan gol kemenangan tewaskan Juventus 1-0 Rabu lalu dalam Liga Juara-Juara.

    Pemain tengah itu terlepas beberapa minggu pada awal musim selepas menjalani pembedahan menyelesaikan masalah bahu yang telah lama berlarutan yang juga menyebabkan tidak dipanggil oleh jurulatih Thomas Tuchel untuk perlawanan awal Oktober membabitkan pasukan England.

    “Kami melihatnya semasa menentang Juventus dan hari ini serta semasa menentang Getafe (hujung minggu lalu). Dia telah bermain tiga perlawanan yang sangat bagus,” kata Alonso kepada pemberita.

    “Pada mulanya awda memerlukan sedikit masa, beberapa minit untuk bersedia dan ia menjadi lebih baik daripada yang kami jangkakan selepas rehat antarabangsa yang lalu, ketika dia berada di sini dan tidak bersama pasukan kebangsaan.

    “Jude ialah pemain yang mementingkan perasaan, komunikasi dan hubungan dalam pasukan. Dan itulah sebabnya dia telah bermain beberapa perlawanan yang sangat bagus.”

    Gol Bellingham menentang Juventus adalah yang pertama di Santiago Bernabeu sejak April lalu.

    Madrid kini menambah jurang lima mata mengatasi Barcelona di puncak liga hasil jaringan kemenangan Bellingham, selepas Mbappe membuka jaringan dan Fermin Lopez menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat.

    Perbincangan sebelum perlawanan didominasi oleh komen pemain sayap Barcelona, ​​Lamine Yamal yang mencadangkan Madrid sering ‘mencuri dan merungut’, tetapi Alonso berkata pasukannya tidak memerlukan insentif tambahan untuk menewaskan Barca, selepas empat kekalahan Clasico musim lalu.

    “Pasukan kami sangat bermotivasi, kami telah bercakap tentang betapa pentingnya perlawanan itu sebelum ini, bukan hanya untuk tiga mata,” jelas Alonso.” Saya sangat gembira kerana mereka memerlukan perasaan memenangi perlawanan besar, seperti Clasicos.”

    Madrid juga mempunyai tiga gol yang dibatalkan kerana ofsaid dan persembahannya mengatasi pasukan Catalan dalam Clasico pertama bagi Alonso.

    Pemain sayap Vinicius Junior beraksi mengagumkan untuk Madrid tetapi timbul saat kontroversi apabila dia merungut dengan lantang semasa digantikan.

    “Saya tidak mahu hilang fokus pada apa yang benar-benar penting sekarang.  Vini membuat banyak sumbangan sama seperti pemain lain,” tambah Alonso. “Ia adalah kemenangan yang penting dan ia boleh menjadi lebih besar.” – AFP

    Aksi Jude Bellingham (kiri), di sebelah Marcus Rashford semasa menentang Barcelona, ​​di Madrid kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda