MADRID, 18 FEB – Jude Bellingham meletakkan Real Madrid di hadapan dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara menentang Manchester City, namun minggu yang bermula dengan baik itu segera berubah menjadi sukar.
Pemain antarabangsa England itu dilayangkan kad merah pada babak pertama ketika Los Blancos kehilangan dua mata dalam saingan kejuaraan liga Sepanyol pada Sabtu di Osasuna.
Bagaimanapun, Bellingham sekurang-kurangnya akan berada dalam keadaan segar untuk perlawanan timbal balik menentang City di Santiago Bernabeu pada Rabu ini, dengan Madrid memegang kelebihan agregat 3-2 selepas kemenangan mereka di Stadium Etihad minggu lalu.
Bellingham merasa bersalah kerana meninggalkan pasukannya dalam keadaan sukar selepas dibuang padang kerana mempertikai keputusan pengadil, meskipun dia menegaskan pengadil salah faham terhadapnya. Dia turut memohon maaf kepada rakan sepasukannya.
Semuanya akan dimaafkan jika dia mampu membantu Madrid menyingkirkan pasukan kendalian Pep Guardiola dan mara ke pusingan 16 terbaik. “Cukup tentang salah faham itu, saya hanya ingin sekali lagi memohon maaf kerana meninggalkan rakan sepasukan dalam situasi yang sukar dan berterima kasih kepada para penyokong atas sokongan serta pemahaman mereka,” tulis Bellingham di media sosial. – AFP
