Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bellingham pakej lengkap England

    AL KHOR, QATAR, 5 DIS – Persembahan luar biasa yang dipamerkan oleh Jude Bellingham dalam aksi England yang menewaskan Senegal 3-0 telah menempatkan pemain berusia 19 tahun itu setaraf dengan pemain elit dunia. Namun, cabaran terbesar kini hadir dalam karier pemain muda itu.

    Banyak perkara yang bakal dijangka daripada pemain tengah berbakat besar itu apabila skuad kendalian Gareth Southgate bertemu juara dunia, Perancis dalam aksi suku akhir di Qatar pada Sabtu ini.

    Bellingham telah membantu rakan sepasukannya mencipta dua gol pertama England semasa mereka mengetepikan Senegal dalam pusingan kalah mati pada Ahad lalu dan remaja tersebut telah menunjukkan aksi serba boleh yang telah membuatkan para pemerhati memujinya.

    “Saya rasa dia seorang pemain yang luar biasa. Dia memiliki segala-galanya, mengasak dengan baik, berlari di atas padang, tackle,” kata kapten England, Harry Kane.

    “Dia boleh berlari bersama bola, dia boleh bersaing dengan pihak lawan, dia boleh membuat hantaran ke depan dan seperti yang awda dapat lihat hari ini, dia merupakan pemain penting untuk jaringan gol kami,” kata penyerang England itu.

    “Saya sangat selesa dengan Jude, dia merupakan individu yang baik, seorang yang matang dan mempunyai kemahiran memimpin yang baik,” tambahnya.

    Pada umur 16 tahun 38 hari, anak pegawai polis ini menjadi pemain paling muda yang mencatat kemunculan pertama dalam skuad utama kelab Birmingham City dan 25 hari kemudian menjadi pemain paling muda yang menjaringkan gol buat pasukannya.

    Apabila dia berpindah ke Borussia Dortmund dengan nilai 25 juta euro, dia menjadi pemain berusia 17 tahun paling mahal dalam sejarah bola sepak dan tidak lama selepas itu menjadi penjaring termuda untuk kelab Jerman itu.

    Dia menjadi pemain antarabangsa skuad England pada November 2020, memegang rekod yang sama dengan Wayne Rooney dan Theo Walcott sebagai pemain muda England di peringkat antarabangsa. – AFP

    Pemain England, Jordan Henderson (kanan), dan Jude Bellingham – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda