Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bellingham perlu berusaha rebut kesebelasan utama’

    LONDON, 13 NOV – Thomas Tuchel telah memberi amaran kepada Jude Bellingham bahawa pemain tengah Real Madrid itu perlu berjuang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama England di Piala Dunia 2026.

    Bellingham kembali dalam skuad Tuchel untuk perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia mereka menentang Serbia dan Albania minggu ini selepas diketepikan daripada skuad antarabangsa terakhir pada Oktober lalu. Pemain berusia 22 tahun itu baru pulih daripada pembedahan bahu apabila Tuchel bertindak untuk tidak memilihnya bagi aksi menentang Wales dan Latvia bulan lalu, sekali gus memberi peluang kepada Morgan Rogers dari Aston Villa menyerlah di posisi nombor 10 bersama skuad England.

    Prestasi Rogers yang mengagumkan telah memberikan Tuchel dilema sukar untuk membuat keputusan menjelang Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

    “Daripada mencari posisi untuk semua pemain terbaik usemata-mata membolehkan mereka berada di padang, mungkin lebih baik meletakkan setiap pemain di posisi terbaik mereka dan biarkan ada persaingan,” kata Tuchel kepada wartawan kelmarin ketika ditanya sama ada beliau akan menurunkan kedua-dua pemain itu dalam pasukannya.

    “Buat masa ini persaingan adalah antara mereka berdua. Mereka adalah kawan, jadi ia satu persaingan sihat.

    “Mereka tidak perlu bermusuhan atau saling membenci. Mereka saling menghormati dan bersaing untuk posisi yang sama. “Bolehkah mereka bermain bersama? Ya, tetapi dalam struktur yang berbeza dan sekarang bukan masanya untuk mengubah struktur pasukan,” tambahnya.

    Kepulangan Bellingham berlaku selepas Tuchel terpaksa memohon maaf awal musim ini kerana mendakwa ibu pemain itu menganggap beberapa tindak-tanduk pemain itu di atas padang sebagai ‘menjengkelkan’. – AFP

    Khephren Thuram-Ulien (kanan) dan Bellingham beraksi mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak di Stadium Hard Rock di Miami pada 1 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda