Friday, July 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bellingham rehat 12 minggu selepas pembedahan bahu

    MADRID, 17 JULAI – Pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham, dijangka akan berehat sehingga 12 minggu selepas menjalani pembedahan bahu, menurut kenyataan kelab gergasi Sepanyol itu kelmarin.

    “Pemain kami, Jude Bellingham berjaya menjalani pembedahan bagi masalah terkehel berulang pada bahu kiri,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan rasmi.

    “Bellingham kini akan memulakan tempoh pemulihan sebelum kembali menjalani latihan pemulihan.”

    Walaupun Madrid tidak menyatakan jangka masa sebenar bagi tempoh pemulihannya, media Sepanyol melaporkan bahawa Bellingham memerlukan sekitar 12 minggu sebelum kembali beraksi.

    Bellingham mengalami ketidakselesaan pada bahunya sejak mengalami kecederaan dalam perlawanan La Liga pada November 2023, dan sejak itu telah bermain dengan memakai alat penyokong di bawah jersinya.

    Pemain tengah England itu menangguhkan pembedahan sehingga selesai komitmennya bersama Madrid di Piala Dunia Kelab musim panas ini, di mana skuad kendalian Xabi Alonso mara ke separuh akhir.

    Bellingham dijangka terlepas perlawanan La Liga menentang seteru utama, Atletico Madrid pada penghujung September, serta dua perlawanan awal Liga Juara-Juara Eropah.

    Namun, pemain berusia 22 tahun itu dijangka kembali semula menjelang aksi El Clasico pertama musim ini menentang Barcelona pada penghujung Oktober di Santiago Bernabeu. – AFP

    Aksi Jude Bellingham semasa separuh akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025 antara Paris Saint-Germain dan Real Madrid CF di Stadium MetLife pada 9 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda