Tuesday, January 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bellingham selamatkan Real Madrid

    VALENCIA, 5 JAN – Jude Bellingham membayar kesilapannya selepas gagal menjaringkan penalti dengan memberikan kemenangan 2-1 kepada Real Madrid yang bermain dengan 10 pemain di Valencia baru-baru ini dan membawa pasukan itu ke puncak La Liga selepas Vinicius Junior dilayangkan kad merah.

    Huro Duro memberikan kelebihan kepada tuan rumah pada separuh masa pertama dalam pertembungan sengit itu, tetapi Luka Modric menyamakan kedudukan untuk pasukan Carlo Ancelotti sebelum Bellingham muncul sebagai wira pada masa tambahan.

    Vinicius, yang pernah berhadapan dengan penyokong Valencia yang mengeluarkan kata-kata perkauman terhadapnya di stadium yang sama pada 2022, dilayangkan kad merah kerana menolak penjaga gol Los Che, Stole Dimitrievski, di belakang lehernya dengan perlawanan berbaki lebih 10 minit lagi.

    Madrid ketika itu ketinggalan, tetapi Bellingham kemudian menghantar bola kepada Modric untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-85 dan memberikan semangat kebangkitan yang hebat.

    Bellingham menggegar gawang pada minit ke-96 selepas kesilapan pertahanan Valencia, menjadikan Madrid kini mendahului Atletico Madrid dengan dua mata di puncak carta, meskipun mereka telah bermain lebih satu perlawanan berbanding pasukan Diego Simeone.

    “Bellingham bermain dengan sangat baik, dia tidak terjejas selepas gagal penalti, itu memberinya motivasi tambahan,” kata Ancelotti.

    “Dia memberikan usaha luar biasa dan jaringan itu adalah ganjaran buatnya atas permainan yang dia tunjukkan.”

    Ancelotti berkata dia tidak fikir tolak Vinicius layak untuk kad merah dan terkejut dengan permulaan buruk pasukannya pada perlawanan itu. – AFP

    Aksi Bellingham semasa perlawanan bola sepak La Liga Sepanyol di stadium Mestalla di Valencia, Sepanyol. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda