LONDON, 16 SEPT – Pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham kembali disenaraikan dalam skuad untuk menentang Marseille pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi esok, lapor PA Media/dpa.
Pemain berusia 22 tahun itu masih belum beraksi musim ini selepas menjalani pembedahan bahu pada Julai. Kali terakhir beliau beraksi ketika Madrid tewas 4-0 kepada Paris St Germain dalam Piala Kelab Dunia Julai lalu, tetapi pulih lebih cepat daripada jangkaan untuk kembali bersama skuad kali ini.
Madrid memulakan kempen La Liga dengan cemerlang tanpa Bellingham, meraih empat kemenangan daripada empat perlawanan pertama, dan mahu meneruskan rentak itu dalam saingan Eropah.
Jurulatih Xabi Alonso pada sidang akhbar berkata pasukannya sangat bersemangat menjelang perlawanan tersebut.
“Bermain dalam Liga Juara-Juara bersama Real Madrid sesuatu yang istimewa, apatah lagi di Bernabeu dengan sejarahnya. Pemain bersemangat untuk terus maju, berkembang dan bersedia menentang lawan yang kuat. Kami mahu bermula dengan baik esok,” katanya.
Kylian Mbappe juga mempamerkan permulaan cemerlang musim ini dengan menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan liga pertama Madrid, membantu kelab itu mendahului La Liga.
Pemain berusia 26 tahun itu masih belum pernah menjuarai Liga Juara-Juara dan kini berhasrat menambah trofi tersebut dalam koleksinya. Alonso bagaimanapun berkata tekanan itu tidak kelihatan pada Mbappe.
“Kami sedar projek ini masih pada peringkat awal, tetapi matlamat bermain untuk Madrid memang sentiasa untuk menjuarai Liga Juara-Juara. Saya harap ia berlaku lebih cepat, dan kami berada di landasan yang betul. Kylian sebahagian daripada perjalanan ini, tetapi bukan hanya dia. Kami perlukan keseluruhan pasukan bekerja sebagai satu unit,” katanya.
Madrid, juara 15 kali, sudah terbiasa mara jauh dalam kejohanan itu namun disingkirkan Arsenal pada peringkat suku akhir musim lalu.
Alonso mengakui tekanan untuk memenangi kejuaraan sememangnya wujud tetapi menganggap ia sebagai satu keistimewaan.
“Tekanan itu satu penghormatan dan sumber motivasi. Bila awda menyarung jersi ini atau datang sebagai jurulatih, itulah sebab awda berada di sini. Ia satu keistimewaan,” katanya. – Bernama/PA Media/dpa


