Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belon kertas bercorak ganjil kekal bertahan

    NIIGATA – Belon kertas merupakan kepakaran kraf serantau Izumozaki, wilayah Niigata, di mana ia telah dihasilkan selama lebih daripada 100 tahun. Secara tradisinya, perikanan adalah industri utama bandar kecil ini yang menghadap Laut Jepun. Namun terdapat tempoh panjang semasa musim sejuk nelayan tidak dapat keluar bekerja kerana laut bergelora.

    “Pada 1919, presiden pertama syarikat kami mula membuat belon kertas sebagai kerja sampingan semasa musim sejuk,” kata Shigeko Isono, 71, presiden keempat pengeluar belon kertas, Isono Kamifusen Seizojo.

    Hari ini, belon kertas syarikat dibuat dengan cara yang sama seperti pada zaman dahulu.

    Kertas kaca digunakan. Ia dipotong menjadi kepingan berbentuk bot, lapan daripadanya dilekatkan untuk membentuk sfera. Sekeping kertas untuk menutup bahagian bawah sfera dilekatkan, begitu juga dengan sekeping kertas lain dengan lubang udara di bahagian atas sfera.

    Daripada tujuh langkah untuk membuat belon kertas, tiga daripada langkah itu, termasuk proses merekat lapan keping kertas untuk membuat bentuk sfera, diberikan kepada tukang terutamanya di wilayah itu. Tradisi ini merupakan saki-baki hari-hari yang diluangkan apabila kerja dikongsi di bandar nelayan semasa musim sejuk. Sistem perkongsian kerja ini sesuai dengan cara Izumozaki dibangunkan di mana rumah biasanya terletak di sepanjang jalan utama di tepi laut.

    Belon kertas buatan Isono Kamifusen Seizojo termasuk corak yang jarang dilihat, seperti obor-obor, kurita dan strawberi. – Gambar Yomiuri Shimbun
    Belon kertas yang telah siap boleh dijadikan barang hiasan gantung. – Gambar Yomiuri Shimbun
    Shigeko Isono menunjukkan kertas belon dengan corak ikan kap. – Gambar Yomiuri Shimbun

    “Apabila awda telah siap melakukan bahagian awda, awda membawanya ke rumah seterusnya,” kata Isono.

    “Di bandar ini, setiap isi rumah mengenali seseorang dalam keluarga atau kejiranan yang terlibat dalam membuat belon kertas. Ia adalah perkara biasa untuk melihat orang merekatkan kertas atau mengeringkan belon kertas berhampiran pintu masuk rumah mereka.”

    Ikan emas sebagai titik perubahan

    Suami Isono, Shinya, ialah presiden ketiga syarikat itu. Pada masa perkahwinan mereka tahun 1987, hiburan kanak-kanak telah pun dikuasai oleh permainan video dan mainan yang dikeluarkan oleh syarikat besar, dan syarikat mereka hanya membuat dua jenis belon kertas.

    Salah satunya adalah jenis belon tradisional beraneka warna. Yang lain dicetak dengan puisi oleh Ryokan, seorang sami Buddha Zen yang lahir di bandar itu pada tahun 1758.

    Pasangan suami isteri Isono kemudiannya memikirkan untuk menambah kepelbagaian belon kertas, dengan harapan objek ini akan lebih menonjol di kedai-kedai.

    Pada suatu hari, semasa membersihkan ruang pejabat, mereka terjumpa belon kertas berbentuk ikan emas. Belon jenis dengan sirip ini dibuat untuk eksport sebelum Perang Dunia Kedua. Pasangan itu berfikir bahawa mereka harus membuat belon ikan emas ini semula.

    Isono masih ingat dengan jelas masa hampir 30 tahun yang lalu apabila mereka mula menjual semula versi belon kertas ikan emas.

    “Secara kebetulan ia berlaku pada hari sukan di sekolah anak kami ketika dia belajar dalam darjah satu,” kata Isono. “Malam sebelumnya, saya dan suami berjaga sepanjang malam menyiapkan belon ikan emas. Kami menghantarnya ke kedai, kemudian pergi ke sekolah.

    Semasa rehat, kami menerima panggilan telefon dari rumah kami. Saya tertanya-tanya apa yang berlaku, dan mesej yang kami terima ialah: ‘Semuanya habis dijual. Bawa lagi.’”

    Teruja dengan sambutan yang menggalakkan, syarikat mereka terus menghasilkan belon kertas dalam lebih banyak reka bentuk, seperti ikan emas dan ibis jambul Jepun, kedua-duanya haiwan popular di Niigata.

    Selepas kematian suaminya, Isono telah memikul tanggungjawab untuk mereka bentuk belon baharu.

    “Kadang-kadang saya bangun pada tengah malam dan mula membuat reka bentuk,” katanya. Satu objek yang lahir daripada usaha cuba-cuba tersebut ialah belon kertas obor-obor.

    Kini terdapat 50-60 jenis belon dijual di kedai cenderamata dan tempat lain dengan harga bermula dari ¥150.

    Kraf tradisional yang ditetapkan

    Syarikat dan bengkel lain dalam perniagaan yang sama telah menutup kedai seiring dengan peredaran masa.

    Isono berkata bahawa setakat yang diingatnya, “Kami adalah syarikat terakhir yang masih berdiri.”

    Sejak lama dilihat sebagai hadiah murah, belon kertas baru-baru ini dilihat lebih bernilai.

    Pada Mei tahun lalu, belon kertas buatan tangan di Izumozaki telah dipilih sebagai salah satu daripada 14 kraf tradisional wilayah Niigata. Laman web wilayah memperkenalkan belon kertas berkenaan sebagai ‘satu-satunya yang dihasilkan di negara ini’.

    Pada tahun lepas juga, Isono Kamifusen Seizojo memulakan bengkel belon kertas di dalam kereta api mewah East Japan Railway Co. Shikishima, yang memenuhi permintaan pelancong.

    Terdapat juga atlet yang menggunakan belon kertas semasa latihan. Mereka boleh melatih otot mereka dengan berkesan dengan berusaha tidak merenyukkan belon kertas di tangan mereka semasa membuat pergerakan tertentu.

    “Terdapat kebebasan dalam reka bentuk dan cara menggunakan belon kertas,” kata Isono.

    “Mungkin akan tiba masanya apabila ia digunakan untuk beberapa tujuan yang tidak dijangka, yang saya tidak sabar untuk melihatnya.” – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda