ANTAKYA, TURKIYE, 22 FEB – Puluhan belon merah menghiasi runtuhan bangunan di jalan raya utama di kawasan selatan Turkiye.
Belon tersebut merupakan penghormatan terakhir kepada kanak-kanak yang terbunuh dalam gempa bumi yang memusnahkan Antakya, menurut Ogun Sever Okur, yang merancang acara itu.
Kesannya sungguh mengagumkan, belon warna merah berkontras dengan warna kelabu runtuhan dan besi buruk.
Barang mainan ungu dengan gambar kartun Daisy Duck dan Minnie Mouse diletakkan berdekatan skuter merah muda dan baju anorak fuchsia dihiasi dalam bentuk hati.
“Tiga kanak-kanak terkorban di sini. Mereka berusia 18 bulan, empat tahun dan enam tahun,” kata Ogun Sever Okur.
Okur, yang menanam bunga mawar dan seorang jurugambar, menjadi anggota menyelamat sukarela selepas gempa bumi di kampung halamannya di Adana, sebelum meneruskan misi ke Antakya, 200 kilometer dari kampungnya.
Lapan hari selepas gempa, Okur mula mengikat belon di puing-puing di bandar yang kini sudah berubah menjadi bandar lengang.
Menurutnya, belon-belon tersebut merupakan ‘barang mainan terakhir yang dapat diberikannya kepada mangsa muda, dengan mengikat 1,000 belon pada lima atau enam bangunan di Antakya.
Belon merah melambangkan kasih sayang dan cinta, katanya. – AFP