Serahkan sahaja kepada Pennywise untuk meletakkan taringnya di kedudukan teratas carta pecah panggung domestik Amerika Utara, kerana filem terbitan Warner Bros dan New Line, It: Chapter Two ini telah berjaya menjuarai kedudukan carta dan berjaya mengutip keuntungan pertama sekitar AS$91 juta.
Satu permulaan yang agak sedikit perlahan khususnya pada musim panas ini.
Walaupun begitu, catatan kutipan It yang kedua ini belum dapat menandingi kutipan It pertama yang berjaya mencecah sehingga AS$123 juta pada minggu pertama ia ditayangkan. Namun It kedua ini masih berjaya meletakkan dirinya di posisi kedua filem seram kedua tertinggi dalam carta pecah panggung untuk bulan September ini.
It pertama masih dianggap antara filem seram yang paling berjaya setakat ini, di mana telah berjaya mengutip sekitar AS$700 juta di seluruh dunia.
Diarahkan oleh Andy Muschietti, It: Chapter Two turut berjaya mengharumkan lagi nama Warner Bros setelah beberapa buah filem terbitan produksi itu berakhir dengan kekecewaan seperti The Kitchen, Godzilla: King of The Monsters dan Shaft.




Manakala di peringkat antarabangsa, It: Chapter Two berjaya mengutip sekitar AS$185 juta. “Kami amat teruja dengan keputusan ini,” kata presiden pengedaran domestik, Jeff Goldstein dari Warner Bros baru-baru ini.
Filem yang dikategorikan sebagai R-Rated ini tidak menerima kritikan yang teruk daripada pengkritik filem sebagaimana siri yang pertama. Rotten Tomatoes telah memberikan markah sekitar 64 peratus untuk siri kedua ini berbanding 87 peratus untuk siri yang pertama. Manakala CinemaScore pula memberikan gred B+ sebagaimana siri yang pertama.
Lebih separuh daripada penonton adalah terdiri daripada lelaki dan sekitar 33 peratus adalah mereka yang berumur di bawah 25 tahun. Kebanyakan penonton adalah terdiri daripada belia muda sebagaimana yang diterapkan dalam filem tersebut.
“Watak Pennywise seakan-akan memberikan kesan kepada penonton yang lebih muda dengan cara yang dipersembahkan dalam filem tersebut,” kata Goldstein.
It: Chapter Two berdurasi selama dua jam dan 50 minit serta hampir 30 minit lebih lama berbanding siri yang pertama.
Sesetengah pengkritik me-ngatakan berikutan dengan durasi yang panjang itu menyebabkan jualan tiket agak sedikit perlahan walaupun filem itu berjaya ditayangkan di 4,579 buah pawagam di Amerika Utara.
Berdasarkan kepada novel kedua hasil tulisan Stephen King, It: Chapter Two telah mengisahkan kembali rakan-rakan yang bertemu kembali selepas 27 tahun di pekan me-reka yang terkenal dengan kemunculan badut menyeramkan yang bernama Pennywise.
Dalam longkang besar di Derry, Maine, badut seram itu kembali dan sahabat baik itu cuba menentang kuasa jahat Pennywise. Filem ini dibintangi oleh Jessica Chastain, James McAvoy, Bill Hader dan Isaiah Mustafa sebagai versi dewasa yang telah berjaya menentang kejahatan Pennywise dalam siri pertama It.
Kedudukan filem yang lain
Sejak It: Chapter Two merupakan satu-satunya wayang baharu pada minggu ini, kedudukan carta pecah panggung seakan-akan tidak banyak berubah lagi pada minggu ini.
Di tempat kedua dimiliki oleh filem Angel Has Fallen, di mana telah berjaya meraih kutipan sekitar AS$6 juta pada minggu ini selepas tiga minggu berada di carta.
Manakala filem Good Boys berada di kedudukan yang ketiga pada minggu ini dan berjaya mengutip sekitar AS$5 juta.
Seterusnya di kedudukan yang keempat pula dimiliki oleh filem The Lion King dan berjaya mengutip sekitar AS$4 juta selepas berada selama lapan minggu di kedudukan carta pecah panggung.
Pada minggu ini, The Lion King berjaya mengumpul sekitar AS$529 juta di Amerika Utara.
Seterusnya di kedudukan yang kelima pula dimiliki oleh Hobbs & Shaw, di mana filem hebat ini telah berjaya mengutip sekitar AS$3 juta pada minggu ini. Secara keseluruhannya, Hobbs & Shaw telah berjaya mengutip sekitar AS$719 juta di seluruh dunia pada minggu ini.
Secara kesimpulannya, walaupun kehadiran filem baharu seperti It: Chapter Two, namun kutipan pecah panggung pada minggu ini masih lagi menurun sebanyak enam peratus berbanding tahun lepas, menurut Comscore.
Namun sebelum berakhirnya tahun 2019 ini, masih terdapat beberapa buah filem bakal mengegarkan carta pecah panggung iaitu Hustlers, Joker, Frozen 2 dan Star Wars: The Rise of Skywalker, adakah filem-filem ini berjaya menggegarkan carta pecah panggung, kita saksikannya sendiri nanti.