MEXICO CITY, 2 APRIL – Dua orang telah meninggal dunia selepas penerbangan belon udara panas berhampiran tapak arkeologi terkenal, Teotihuacan di Mexico terbakar, menurut kenyataan kerajaan kelmarin.
“Penumpang melompat dari belon udara tersebut,” kata kerajaan negeri Mexico dalam kenyataannya, sambil menambah seorang kanak-kanak mengalami kecederaan terbakar.
Mangsa dikenal pasti sebagai wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 50 tahun tanpa menyebut nama mereka. Menurut kenyataan, kanak-kanak itu mengalami kecederaan terbakar tahap dua pada wajah dan patah tulang paha kanan.
Tidak dinyatakan sama ada terdapat penumpang lain dalam belon udara tersebut.
Sebuah video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan gondola belon terbakar di udara.
Beberapa pengusaha pelancongan menawarkan penerbangan belon udara di Teotihuacan, kira-kira 70 kilometer di timur laut Mexico City, dengan bayaran kira-kira AS$150.
Dengan Pyramids of the Sun and the Moon serta Avenue of the Dead, Teotihuacan merupakan destinasi pelancongan yang popular, sebuah monumen yang masih ada dari zaman pra-Columbus. – AFP