MILAN, 27 SEPT – Dua jaringan kapten Andrea Belotti di separuh masa kedua, termasuk satu sepakan akrobatik di depan gawang, telah mengesahkan kebangkitan 2-1 Torino dalam aksi Serie A ke atas AC Milan awal pagi tadi.
Penyerang Poland, Krzysztof Piatek meletakkan AC Milan di depan menerusi sepakan penalti selepas 18 minit di Stadium Olympic.
Tetapi dalam tempoh empat minit, Belotti mengesahkan tiga mata buat skuad kendalian Walter Mazzarri, yang mengalami kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan sebelum ini.
Torino melonjak ke kedudukan keenam carta, berkongsi sembilan mata bersama Napoli dan Cagliari selepas lima perlawanan, namun enam mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan. Manakala AC Milan tercicir ke kedudukan ke-13.
“Kami tidak mahu tewas buat kali ketiga berturut-turut,” kata Belotti.

“Mereka mempermainkan kami di separuh masa pertama tetapi apabila kami kembali selepas rehat kami menjadi pasukan berbeza.”
Kedua-dua pasukan itu terdesak untuk kembali ke landasan kemenangan, dengan Milan berada di depan menerusi penalti yang dihadiahkan selepas Lorenzo De Silvestri mengasari Rafael Leao.
Piatek, penjaring ketiga terbanyak dalam Serie A musim lepas dengan 22 gol, menyempurnakan penalti itu.
Tetapi Torino meningkatkan tekanan di separuh masa kedua dan ia berhasil apabila Belotti menemui sasaran pada minit ke-72 dengan menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.
Dan pemain berusia 25 tahun itu menambah jaringan kedua beberapa minit kemudian di tengah-tengah kekeliruan di depan gawang Milan dengan sepakan akrobatik. – AFP