MILAN, 28 Feb – Penyerang Itali Andrea Belotti menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua buat Torino dengan meledak dua gol untuk mengikat Fiorentina 2-2 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan memburu slot ke Liga Europa musim depan itu, Fiorentina mendahului dua gol hasil jaringan Riccardo Saponara pada minit kelapan dan Nikola Kalinic minit ke-38.
Bagaimanapun, Fiorentina gagal mempertahankan dua gol awal mereka itu pada babak kedua, kali kedua berturut-turut apabila Torino berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Belotti yang membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledak dua gol minit ke-65 dan ke-85.
Terdahulu, Torino dihadiahkan sepakan penalti selepas Carlos Salcedo mengasari Lucas Boye tetapi Belotti gagal menyempurnakannya apabila sepakannya melambung tinggi.
Tetapi pertahanan Itali kemudian meraikan dengan tarian ‘ayam jantan’ selepas mengurangkan tunggakan tiga minit kemudian dengan rembatan kencang untuk menewaskan Ciprian Tatarusanu.

Namun, dua gol Belotti selepas itu membolehkan dia berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak liga musim ini bersama penyerang AS Roma, Edin Dzeko dengan 19 gol.
Fiorentina yang menerima kecaman penyokong di Artemio Franchi di atas prestasi hambar mereka dalam perlawanan kekal di tangga kelapan liga, enam mata di belakang AC Milan yang ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu, Juventus.
Torino dengan ini berada di tangga kesembilan dengan 36 mata, lima mata di belakang Florentina selepas 29 perlawanan, di mana mereka menang sembilan kali, seri sembilan dan kalah lapan kali.
Juventus, yang memburu scudetto keenam berturut-turut, mempunyai kelebihan tujuh mata ke atas pasukan tempat kedua Roma, yang menyaksikan Radja Nainggolan meledak dua gol menakjubkan dalam kemenangan 3-1 di Inter Milan Ahad lalu.
Kemenangan itu lebih penting selepas impian gelaran Napoli terjejas dengan kekalahan 2-0 di tempat sendiri kepada Atalanta Sabtu lalu menyebabkan pemain Maurizio Sarri menduduki tangga ketiga, 12 mata di belakang.
Atalanta di tangga keempat pula satu mata di hadapan Lazio dan tiga mata mengatasi Inter. – AFP