LONDON, 30 OKT – Ruben Amorim hari ini berkata ‘belum ada keputusan muktamad’ dicapai setelah Manchester United menyasarkan jurulatih Sporting Lisbon itu sebagai calon utama untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat baru-baru ini.
United membuat keputusan menamatkan kontrak dua tahun Ten Hag kelmarin selepas kekalahan 2-1 di tangan West Ham sehari sebelumnya menyaksikan kelab terkaya di dunia itu merosot ke tangga ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris.
Amorim segera muncul sebagai pilihan utama untuk menggantikan jurulatih dari Belanda itu, dan kenyataan Sporting kepada bursa saham Lisbon mengesahkan bahawa United bersedia membayar klausa pelepasan Amorim bernilai AS$10.8 juta.
Ketika ditanya selepas kemenangan Sporting dalam perlawanan Piala Liga menentang Nacional semalam sama ada ia merupakan perlawanan terakhirnya bersama kelab Portugal tersebut, Amorim memberi jawapan yang berhati-hati.
“Tiada siapa yang tahu sama ada ini adalah perlawanan perpisahan saya. Tidak ada apa-apa yang telah diputuskan,” katanya, menurut laporan akhbar sukan, A Bola.
Di sebalik perbelanjaan besar dalam pasaran perpindahan pada musim panas lalu, United hanya menang sekali daripada lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Bekas penyerang United, Ruud van Nistelrooy dinamakan sebagai bos sementara namun United dilihat memberikan tumpuan kepada Amorim, yang dianggap salah seorang jurulatih muda terbaik di Eropah.
Dia memenangi dua kejuaraan Portugal bersama Sporting sejak menyertai kelab itu pada Mac 2020. – AFP