Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belum ada penemuan baharu

    KUALA LUMPUR, 18 DIS – Tiada penemuan baharu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands pada hari ketiga, setakat 6 petang ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata operasi SAR bagi mencari dan menyelamat sembilan mangsa yang masih hilang dalam bencana itu ditangguhkan sementara petang ini ekoran faktor cuaca.

    Terdahulu, Norazam berkata operasi SAR bermula 9 pagi tadi menggunakan jentera pengaut yang dijalankan secara berperingkat serta perlahan bagi mengelakkan terkena mayat tertimbus dalam insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.

    Beliau berkata pada peringkat awal, pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.

    “Selepas itu pasukan penggalian akan berhenti dan membuat pemeriksaan sama ada melalui unit anjing pengesan (K9) atau secara manual. Jika tiada tanda-tanda menunjukkan mayat, kami akan teruskan penggalian namun secara perlahan untuk elak mayat terkena dengan pengaut jentera tersebut,” katanya.

    Selain itu, katanya, setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diatur gerak membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).

    Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2:42 pagi Jumaat lepas, telah mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang. – Bernama

    Pasukan penyelamat meneruskan pencarian mangsa terperangkap dalam tanah runtuh di Batang Kali, Malaysia pada 17 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda