PARIS, 1 OGOS – Kesatuan Eropah masih belum mencapai kata sepakat mengenai calon untuk mengganti Christine Lagarde sebagai ketua Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), kata kementerian kewangan Perancis hari ini.
“Pada peringkat ini, walaupun beberapa nama calon menerima lebih banyak sokongan berbanding yang lain, masih belum ada kata sepakat dalam satu nama,” kata kementerian, yang mempelopori usaha untuk mencari pengganti untuk Lagarde.
Jawatan pengarah urusan IMF diberikan kepada seorang warga Eropah berdasarkan konvensyen sementara seorang warga Amerika mengetuai Bank Dunia. Jawatan itu menjadi kosong selepas Lagarde diusulkan oleh pemimpin Kesatuan Eropah (EU) untuk mengetuai Bank Pusat Eropah.
Beberapa nama termasuk Menteri Kewangan Sepanyol Nadia Calvino dan bekas menteri kewangan Belanda Jeroen Dijsselbloem, telah dikemukakan sebagai bakal pengganti.
Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire telah bercakap kepada ‘semua rakan sekerjanya’ dalam tempoh beberapa hari lalu, ‘terutamanya dengan Olaf Scholz’, rakan sejawatan Jerman, kata kementeriannya. – AFP