Haqiem Rusli, 24, berjanji andai dikurnia rezeki isteri tersayang berbadan dua, dia akan segera berkongsi berita gembira itu dengan peminat.
Sekali lagi kecoh konon isterinya, Anis Sofea, 20, hamil gara-gara foto mereka berbulan madu dikongsi di media sosial hingga dihujani ucapan tahniah, penyanyi Mimpi itu menjelaskan mereka belum dikurniakan zuriat.
“Saya ingin jelaskan kekecohan konon isteri mengandung. Buat masa sekarang, tidak ada lagi… Ini (penjelasan) keluar dari mulut saya.
“Bagaimanapun, kami tidak menolak andai ada rezeki. Jika rezeki sudah tiba, kami akan kongsi (berita kehamilan) secepat mungkin kepada semua,” katanya kepada media.
Akhir Februari lalu, tersebar gosip konon Anis hamil gara-gara usikan seorang jurugambar yang memuji wajah isteri penyanyi itu berseri-seri melalui rakaman video.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P18-B_30052022.jpg)
Pada insiden itu, Haqiem yang menyapa ‘anak coming soon’ disalah erti konon pasangan itu bakal menimang cahaya mata.
Berikutan itu, Haqiem terpaksa membuat penjelasan di Instagram Story (IGs) apabila peminat mula salah faham.
Dalam insiden terbaharu, Anis tampil membuat penjelasan menerusi IG Live bahawa perutnya buncit disebabkan berat badan meningkat sembilan kilogram (kg), bukan kerana mengandung.
“Ini bukan kandungan tetapi buncit. Doakan yang baik-baik supaya kami dapat anak damit. Kalau ada berita gembira, saya akan kongsi.
“Semua orang fikir saya mengandung kerana lemak pada badan ini. Anda tidak sabar hendak tengok ‘our junior’ (anak)? Sabarlah… Kalau ada, saya akan beritahu terutama kepada Qiemilio (kelab peminat Haqiem),” katanya.
Haqiem yang meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 dan Anis, bernikah di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 19 November tahun lalu. – Agensi