Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belum boleh rai – Spalletti

    MILAN, 24 APRIL – Luciano Spalletti berkata belum tiba masanya untuk Napoli mula meraikannya walaupun kemenangan terakhir 1-0 di Juventus menyebabkan pasukannya memerlukan hanya satu lagi kemenangan untuk merangkul kejuaraan Serie A yang bersejarah.

    Giacomo Raspadori menjaringkan gol dalam penentuan masa kecederaan untuk meraih kemenangan besar di Juve yang melonjakkan Napoli 17 mata di depan liga, menepis kekecewaan apabila tersingkir dari Liga Juara-juara oleh AC Milan pada pertengahan minggu.

    Jika Napoli menewaskan pesaing serantau, Salernitana pada Sabtu ini, mereka memerlukan Inter Milan untuk mengelak kekalahan di tempat sendiri kepada Lazio pada hari Ahad untuk dinobatkan sebagai juara buat kali pertama sejak 1990.

    “Kami perlu menunggu seketika sebelum kami boleh meraikan kemenangan ini, kerana kami masih mempunyai sedikit perjalanan untuk dilalui,” kata Spalletti kepada DAZN.

    “Mereka bermain dengan sangat baik dan adalah tidak mudah untuk melakukannya sejurus tersingkir daripada Liga Juara-juara. Saya tidak fikir kami boleh melakukannya lagi malam ini.”

    Tanpa kekalahan dalam baki tujuh perlawanan terakhir musim ini, Napoli akan memenangi liga berserta kegemilangan kerjaya Spalletti yang telah menjadi perjalanan panjang bermula dari bola sepak liga bawahan sebagai pemain ke puncak perlawanan Itali.

    Scudetto itu akan menjadi gelaran liga pertamanya sejak dua yang dimenanginya di Rusia bersama Zenit Saint Petersburg pada 2010 dan 2012 dan trofi pertamanya dalam liga utama sejak Piala Itali bersama Roma pada 2008.

    Jurulatih berusia 64 tahun itu telah lama dianggap sebagai jurulatih berkebolehan yang tidak mempunyai mentaliti menang, yang membuatkan pasukannya bermain bola sepak yang hebat namun akhirnya mendapat sedikit pencapaian.

    “Ia jelas sangat memuaskan untuk berada di sini,” tambah Spalletti. “Ia adalah jalan yang lebih sukar di sini bagi saya berbanding orang lain yang bermula dari peringkat yang lebih tinggi, mereka yang mendapat penghormatan daripada karier permainan mereka dan berpeluang memimpin pasukan teratas sejak awal.” – AFP

    Pemain Napoli, Giovanni Di Lorenzo (tengah) bersaing dengan Danilo dan Federico Chiesa semasa perlawanan bola sepak menentang Juventus di stadium Juventus di Turin, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda