Sunday, July 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ben nafi kekasih punca menetap di Pulau Siargao

    Pelakon Malaysia, Ben Amir, menafikan memilih menetap di Pulau Siargao, Filipina disebabkan kekasih.

    Tidak menafikan mengenali seorang wanita, Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin berkata, dia kini dalam fasa bahagia membina kehidupan di Pulau Siargao memandangkan bakal mengusahakan perniagaan restoran dan villa.

    “Kami masih dalam fasa kenal. Kalau nak cari peneman, kena kenal hati budi. Kami sudah dua tahun berkawan dan perlahan-lahan mengenali antara satu sama lain.

    “Dia berasal dari Filipina dan kami berkenalan di sana. Tapi, saya berpindah ke Pulau Siargao bukan disebabkannya.

    “Saya tak suka orang buat spekulasi bukan-bukan. Kalau nak tahu, terus tanya saya, bukan dengar cakap orang lain.

    Ben kini sedang mengenali hati budi wanita dari Filipina yang dua tahun dikenalinya. – Berita Harian Online

    “Sebenarnya, sudah lama saya rancang berpindah Pulau Siargao, tapi bukanlah disebabkan seseorang. Saya sedang membina fasa hidup seterusnya.

    “Sebagai anak lelaki, memang kena sentiasa upgrade dari segi karier dan mental. Tak dinafikan, ia suatu yang susah, tapi sebab susahlah saya nak buat,” katanya kepada Berita Harian Online.

    Berkongsi lanjut, Pelakon Televisyen Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-33 dan ke-34 itu berkata, restoran dan villa berkemungkinan memulakan operasi, hujung tahun atau awal tahun depan.

    “Bukan senang apa yang sedang saya usahakan. Saya tak pernah buat dan ia dilakukan di negara orang, dekat pulau pula.

    “Ia satu cabaran yang saya suka. Saya cabar diri untuk bina kerjaya baharu, selain berlakon.

    “Saya mahu jadi ahli perniagaan pula. Saya bermula secara perlahan-lahan dan insyaAllah, akan siap semuanya, tidak lama lagi. Saya bahagia dan tenang hidup di Pulau Siargao,” katanya ketika ditemui pada majlis malam gala dan tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code di ibu negara, baru-baru ini.

    Turut membintangi filem itu, Ikmal Amry, Hafreez Adam, Shazia Rozaini, Taufiq Hanafi, Nelissa Nizam dan Bront Palarae.

    Gantung: Musketeer Code menceritakan kisah empat sahabat baik dituduh menjadi punca kematian seorang pelajar perempuan yang menggantung diri di auditorium sekolah.

    Filem berkenaan bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 Jun ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda