NEW DELHI, 12 NOV – India menduduki tempat kesembilan dunia dalam kalangan negara yang paling terjejas akibat bencana iklim dalam tempoh tiga dekad lalu, dengan hampir 430 kejadian cuaca ekstrem meragut lebih 80,000 nyawa, menurut Indeks Risiko Iklim (CRI) 2026, lapor Press Trust of India (PTI).
Laporan CRI 2026 yang dikeluarkan oleh kumpulan pemikir alam sekitar Germanwatch pada COP30 di Belem, Brazil kelmarin menyatakan bahawa bencana iklim telah jejaskan 1.3 bilion penduduk India dan menyebabkan kerugian ekonomi hampir AS$170 bilion antara 1995 hingga 2024.
Menurut laporan itu, kerugian yang dialami India berpunca terutamanya daripada kejadian banjir berulang, taufan, kemarau dan gelombang haba yang semakin meningkat akibat pemanasan global. – Bernama/PTI

