ZAGORA – Menghidupkan enjin, petani epal Greece, Thymios Economou, berusaha keras untuk memandu trak pikap melalui jalan tanah berbatu dan sampai ke dusunnya yang hancur dilanda banjir.
Selepas beberapa lama, kenderaan itu terkandas. Economou menunjuk ke atas lereng bukit, 500 meter tinggi, yang telah dihancurkan oleh Ribut Daniel yang melanda pusat Greece bulan ini.
“Dulu ada kebun epal di sana. Semua pokok itu dibawa musnah oleh banjir,” kata lelaki berusia 53 tahun itu kepada AFP.
“Beberapa orang tidak akan dapat menuju ke ladang mereka sama sekali. Mereka tidak akan memperoleh pendapatan tahun ini,” tambah Economou.
Banjir yang disebabkan oleh Ribut Daniel tiga minggu lalu, menyebabkan hujan berbulan-bulan dalam beberapa jam sahaja, memusnahkan jalan raya dan jambatan, menenggelamkan puluhan ribu haiwan ternakan dan meragut nyawa 17 orang.




“Saya kehilangan 100 buah pokok di salah satu ladang saya,” kata Antonis Laskos, 62.
“Pokok-pokok itu tercabut dan dihanyutkan ke laut.”
Zagora ialah kuasa besar epal Greece, dengan sebuah koperasi ladang yang wujud sejak 1916. Kira-kira 800 keluarga telah membina kehidupan mereka dengan buah itu.
Epal Zagora di kawasan ini adalah salah satu varieti Starking Delicious yang diperkenalkan dari California pada awal tahun 1950an telah memegang label perlindungan asal Eropah sejak 1996.
Penduduk kampung Zagora, kawasan yang menghasilkan beberapa epal terbaik Greece, berkata sehingga 80 peratus daripada rangkaian jalan raya tempatan telah terputus dan tidak akan mudah untuk diganti.
Malah, menuai hasil yang masih hidup juga sukar, kerana satu-satunya jambatan yang masih teguh di kawasan itu tidak mampu menampung trak 45 tan yang biasanya digunakan untuk pengangkutan, menurut ketua koperasi, Yiannis Kravvaris.
“Lori yang lebih kecil perlu digunakan, dan ini akan meningkatkan kos dengan ketara,” katanya.
“Terdapat usaha membina semula tetapi kerosakannya sangat meluas sehingga mustahil untuk membaiki segala-galanya,” kata Ioulia Papoulia, ahli agronomi yang bertanggungjawab ke atas kawalan kualiti di koperasi ladang Zagorin.
“Tahun lepas kami mempunyai 18.5 juta buah epal. Tahun ini kami bertuah untuk mendapat lima juta kilo,” katanya.
Balai Cerap Athens meletakkan Zagora di pusat ribut.
Dari 4 hingga 8 September, balai cerap merekodkan 1,096 milimeter hujan termasuk lebih 750 milimeter pada 5 September.
Purata hujan di kawasan ini adalah 150 milimeter. Pada tahun 2018, hujan maksimum di Zagora adalah 231 milimeter.
Minggu ini, ribut lain yang diberi nama Elias membawa 96 milimeter air tambahan.
Penuai Costas Zervas, 50, berkata tanaman epal tahun ini sudah bermasalah kerana perubahan iklim.
“Kami sering mengalami hujan pada bulan Jun yang menyebabkan penyakit.
“Dan musim sejuk agak sederhana. Pokok epal memerlukan suhu sejuk dari 800 hingga 1,600 jam beku setiap tahun,” jelas Zervas.
Menghadapi kritikan bertubi-tubi mengenai kegagalan kerjasama antara tentera dan perlindungan awam dalam beberapa jam selepas bencana itu, kerajaan telah menjanjikan lebih AS$2.1 bilion dalam dana pembinaan semula.
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis, yang memenangi pemilihan semula dan penggal kedua selama empat tahun pada Jun, telah memberi amaran kepada Greece sedang menghadapi ‘perang iklim’.
“Dalam tempoh dua minggu, kami mengalami kebakaran hutan yang paling teruk dan banjir terburuk dalam sejarah kami,” kata Mitsotakis bulan ini.
Kebakaran di seluruh Greece mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang pada musim panas ini, kebanyakan mereka pendatang terperangkap di dalam hutan berhampiran sempadan timur laut dengan Turkiye.
Kebakaran besar-besaran di Taman Negara Dadia di timur laut Greece yang terbakar selama lebih dua minggu kemudiannya disifatkan oleh Suruhanjaya Eropah sebagai yang terbesar dalam rekod di Eropah. – AFP

