IPOH, 31 JAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan segera lebih RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak ketika ini.
Anwar berkata bantuan kerajaan Pusat kepada negeri yang dilanda bencana, tidak mengikut musim.
“Kalau banjir di Perak kita bagi satu keluarga RM1,000. Di Sabah, Sarawak pun saya ada minta NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) segera luluskan dalam kadar segera RM1,000 ringgit bagi setiap keluarga mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh.
“Kemudian kita siapkan beberapa puluh juta, katanya perlu RM20 juta atau RM24 juta segera untuk perbaiki kerosakan-kerosakan besar, kita luluskan. Ini pandangan yang tidak ikut negeri, tidak ikut musim, tetapi ikut tanggungjawab, jadi kita lakukan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – Bernama