TOKYO, 27 OKT – Belinda Bencic berkata dia sendiri terkejut apabila memenangi gelaran kedua musim ini di Tokyo kelmarin, setahun selepas kembali bermain tenis selepas melahirkan anak.
Pemain Switzerland itu berjaya menewaskan Linda Noskova dari Republik Czech 6-2, 6-3 dalam final Terbuka Pan Pacific, susulan kejayaannya di Terbuka Abu Dhabi pada Februari.
Bencic melahirkan seorang anak perempuan pada April tahun lalu dan kembali ke Jelajah WTA enam bulan kemudian.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata dia tidak menjangka kepulangannya akan ‘berlaku begitu cepat dan lancar.’
Bencic berada di ranking ke-421 dunia pada permulaan musim tetapi kini melonjak ke tangga ke-13 dan dijangka naik lebih tinggi selepas kemenangannya di Tokyo.
Kemenangan itu memberikannya gelaran WTA ke-10 dalam kariernya dan berlaku 10 tahun selepas penampilan terakhirnya dalam final Pan Pacific, di mana dia tewas kepada Agnieszka Radwanska dari Poland.

Bencic juga pernah memenangi pingat emas Olimpik di Tokyo pada 2021.
Prestasinya di Terbuka Australia, di mana dia menewaskan bekas nombor satu dunia Naomi Osaka sehingga ke pusingan 16 terakhir, meyakinkan dirinya untuk meneruskannya.
Bencic, pilihan kelima, terpaksa bekerja keras untuk kemenangan di Tokyo, menewaskan Karolina Muchova dan Sofia Kenin dalam perlawanan tiga set sebelum mara ke final.
Bencic tidak henti-henti memberikan saingan hebat ketika menentang pilihan keenam, Noskova, yang memburu gelaran pertamanya musim ini dan laluan ke finalnya jauh lebih mudah.
Pemain berusia 20 tahun itu menang suku akhir apabila Anna Kalinskaya bersara akibat kecederaan awal pada set kedua dan diberikan kemenangan percuma dalam separuh akhir apabila Elena Rybakina menarik diri kerana sakit belakang.
Noskova, yang mensia-siakan 10 peluang untuk mematahkan servis dalam final berkata, kekurangan aksi perlawanan telah menjejaskan prestasinya.
“Saya memang tidak dapat mengawal semua mata atau semua pukulan seperti beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.
Kejohanan telah terjejas dengan sembilan pemain menarik diri sebelum pusingan pertama bermula, termasuk pemain Jasmine Paolini dan Jessica Pegula. – AFP

