Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara penurunan bendera besar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama kira-kira sebulan, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78, Tahun 2024.

    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham hadir bagi menyempurnakan upacara berkenaan.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 bagi Tahun 2024 yang terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pihak swasta.

    Sebahagian daripada yang hadir menyaksikan upacara berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan pasukan seramai 78 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Pasukan pembawa bendera bergerak masuk untuk menurunkan bendera.

    Majlis diteruskan dengan pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan, dinyanyikan oleh Kumpulan Koir dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

    Majlis diteruskan dengan upacara penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang kemudiannya diserahkan oleh Pegawai Pembawa Bendera kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan diikuti dengan bacaan doa selamat bagi penutup upacara berkenaan.

    Atas & Bawah :  Bendera besar negara sedang diturunkan.

    Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran serta Bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai dan juga termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan.

    Bendera besar telah usai diturunkan dan akan dilipat dengan kemas.
    YB Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima bendera yang telah diturunkan dan dilipat kemas. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda