Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bendera besar negara diturunkan

    Oleh Sim Y.H, James Kon, Nurdiyanah R & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Setelah berkibar megah di ruang udara Bandar Seri Begawan selama kira-kira sebulan, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78, Tahun 2024.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan sambutan yang terdiri daripada Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), di Kementerian Hal Ehwal Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pihak swasta.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan pasukan seramai 78 pembawa bendera Brunei bergerak masuk diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei (PPPDB).

    Majlis diteruskan dengan pasukan pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh PPPDB.

    Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei semasa menurunkan bendera besar negara di Bandar Seri Begawan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pegawai pembawa bendera menyerahkan bendera besar kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Mohamad Syazwan menerima bendera negara di Menara Cendera Kenangan, Daerah Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Anggota PPDB menyerahkan bendera besar kepada Haji Haizul Rizal di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    Haji Mohamad Azmi menerima bendera negara pada upacara yang diadakan di kawasan terbuka taman perayaan Pekan Bangar. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURONG

    Lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, dinyanyikan oleh kumpulan koir dengan iringan PPPDB.

    Majlis diteruskan dengan upacara penurunan bendera besar yang kemudiannya diserahkan oleh pegawai pembawa bendera kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat bagi penutup upacara berkenaan.

    Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran serta bendera negara bagi orang ramai dan juga termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan.

    Sementara itu di Daerah Temburong, upacara menurunkan bendera negara telah berlangsung di kawasan terbuka taman perayaan Pekan Bangar.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili yang turut menerima bendera negara selepas upacara menurunkan bendera.

    Turut hadir Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan sambutan bagi Daerah Temburong dan ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua kampung.

    Bagi Daerah Tutong, upacara sama berlangsung di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara itu ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

    Turut hadir ialah ahli-ahli MMN, para pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung Daerah Tutong.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Ketua Imam Masjid Kampung Menengah, Tutong, Awang Mohd Azim Shah bin Abd Rahman.

    Upacara diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan upacara menurunkan bendera oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Manakala di Daerah Belait, upacara serupa telah diadakan di Menara Cendera Kenangan.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Syazwan bin Nordin; Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman, penghulu mukim dan ketua kampung, serta wakil kumpulan dan agensi dari seluruh Daerah Belait.

    Anggota PPDB menurunkan bendera negara selepas bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Haji Noor Azhar bin Haji Harith, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan.

    Bendera negara kemudiannya diturunkan dan diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah Belait, serta ditutup dengan bacaan Doa Selamat oleh Haji Noor Azhar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda