Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 telah diadakan di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Rashid, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 Tahun.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan perarakan masuk seramai 79 orang anggota Pasukan Pembawa Bendera Negara Brunei Darussalam yang diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei, serta nyanyian Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan oleh Pasukan Koir Sekolah Menengah Berakas.

Majlis kemudiannya disempurnakan dengan penurunan dan penyerahan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang berukuran 3.7 meter kali 7.5 meter kepada tetamu kehormat sebagai simbolik penutupan rasmi tempoh pengibaran bendera.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan, yang terdiri daripada setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, serta wakil-wakil sektor swasta.

Upacara penurunan bendera tersebut menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi Pengiran-Pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran, serta bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan di seluruh negara.
