GENEVA, 13 NOV – Bendera-bendera dikibarkan setengah tiang di perkarangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia hari ini, ketika kakitangan bertafakur selama seminit untuk mengenang rakan sekerja yang terkorban di Gaza semasa konflik Hamas-Israel.
Bendera PBB dikibarkan setengah tiang pada 9:30 pagi waktu tempatan di pejabat-pejabat di Bangkok, Tokyo dan Beijing, sehari selepas badan dunia melaporkan ‘jumlah kematian dan kecederaan yang signifikan’ dalam serangan ke atas sebuah kemudahan di Gaza.
Di Geneva, Ibu Pejabat PBB kedua terbesar selepas New York, bendera PBB dikibarkan setengah tiang dan tiada bendera-bendera lain dari 193 buah negara ahli dikibarkan di sepanjang lorong utama pekarangan. Kakitangan juga dijemput untuk bertafakur secara ‘bersendirian’, menurut jurucakap Rolando Gomez.
Acara-acara serupa juga diadakan di Kathmandu dan Kabul, di mana Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Afghanistan, Roza Otunbayeva mengetuai kira-kira 250 orang dalam upacara bertafakur.
Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat mengumumkan bahawa lebih 100 orang kakitangannya terbunuh di Semenanjung Gaza sejak permulaan perang.
Israel telah mengebom sasaran di seluruh Semenanjung Gaza sejak pejuang Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober di selatan Israel, kejadian paling berdarah dalam sejarah Israel.
Kira-kira 1,200 orang terbunuh dalam serangan Hamas dan kira-kira 240 orang dijadikan tebusan, menurut pegawai Israel.
Sementara itu, lebih 11,000 orang, kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak, terkorban di Gaza akibat serangan tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan di kawasan yang dikuasai Hamas. – AFP
