BENDI atau nama botaninya Abelmoschus esculentus adalah sejenis sayuran buah berlendir yang boleh dibuat ulam dan dimasak dengan pelbagai cara. Dikenali dengan nama Lady Fingers atau Okra (Inggeris), bendi dipercayai berasal dari kawasan Asia Tenggara.
Pokok bendi adalah pokok separa keras. Batangnya bulat, berwarna hijau gelap serta tegap, tidak mempunyai percabangan. Seluruh bahagian berbulu halus. Daunnya jenis tunggal, susunan berpilin, bersaiz besar, mempunyai tiga, lima atau tujuh cuping.
Tangkai daun sederhana panjang. Bunga pokok bendi jenis tunggal, saiz sederhana besar serta mempunyai kelopak besar berwarna kuning. Buahnya jenis kapsul, berbentuk silinder yang meruncing di hujungnya.
Buahnya berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada coklat apabila telah tua. Buahnya mengandungi banyak biji sederhana kecil berbentuk bulat dan berwarna putih semasa muda. Bijinya ini akan bertukar kepada warna kelabu keperangan apabila tua. Buah bendi terbentuk di celah batang pokok. Apabila dipetik, buahnya mengeluarkan lendir.
Buah bendi rendah kalori dan padat dengan zat. Ia tinggi kandungan serat, vitamin A, C dan folat. Ia juga turut memiliki sumber vitamin B, vitamin K, kalsium, kalium, besi, zink, magnesium dan mangan yang baik. Bendi juga adalah antara sayuran yang mengandungi fitonutrien dan antioksidan seperti beta karotena, xanthin dan lutein.

Khasiat tersembunyi dalam biji bendi Melindungi isi perut
Lendir atau musilaj yang terdapat pada buah bendi mengandungi polisakarida. Ia dikatakan mampu membantu memperbaiki pencernaan dan dikatakan boleh digunakan dalam rawatan penyakit gastritis, ulser gastritis dan pembersihan hepar atau pundi hempedu.
Lendir bendi juga dikatakan mampu membantu melincirkan dan melegakan isi perut, melindunginya daripada keradangan kronik yang boleh membawa kepada sindrom usus renga.
Baik untuk wanita
Bendi yang kaya dengan kandungan folat juga dikatakan mampu mengurangkan berlakunya kecacatan tiub saraf dalam diri anak damit.
Folat ini juga mampu membina kekuatan dan kepadatan tulang sekali gus mencegah osteoporosis.
Kandungan asid folik dan B6 yang terkandung dalam bendi juga dikatakan mampu mengurangkan kemurungan dan gejala-gejala pra haid di mana bermakna bendi amat bagus untuk wanita.
Mengurangkan masalah kulit
Memakan bendi dikatakan mampu melindungi diri daripada mendapat ulser perut. Bakteria heliobacter pylori (h.pylori) dikenali sebagai penyebab ulser perut.
Bendi mengandungi sebatian glycosylated dikatakan mampu menghalang h.pylori untuk menyerang pelapik perut.
Apabila pergerakan usus menjadi baik, kesihatan kulit akan diperbaiki. Ia sekali gus mampu membantu mengurangkan akne, psoriasis dan masalah-masalah kulit lain.


Membuang toksin
Bendi juga dikatakan mampu membantu membuang toksin dan kolestrol berlebihan dalam tubuh. Semasa proses pencernaan, hempedu yang sebahagian besarnya adalah kolestrol merendam asid dan toksin daripada tubuh.
Serat musilaj berasaskan pektin mudah dilarut dalam bendi mengikat hempedu bertoksik ini dan membenarkan ia dihapuskan dengan cepat.
Menghapuskan kolestrol berlebihan
Jika bahan bertoksik ini berada dalam usus terlalu lama boleh diserap semula dan menyebabkan keradangan yang membawa kepada penyakit usus.
Proses sama menghapuskan kolestrol berlebihan daripada tubuh ini sekali gus merendahkan tahap serum kolestrol dan mengurangkan risiko penyakit jantung.
Menguatkan sistem imun
Dikatakan juga kandungan tinggi antioksidan dalam bendi mampu melindungi sistem imun menentang radikal bebas berbahaya dan mencegah mutasi sel-sel.
Kandungan vitamin C yang terdapat dalam bendi juga menjadikan ia amat berguna untuk mengurangkan serangan asma. Bendi juga dikatakan makanan perangsang imun yang mampu mengurangkan batuk dan demam selesema.
Mencegah diabetes
Selain daripada itu, bendi juga dikatakan turut mengandungi bahan seperti insulin yang mampu membantu mengurangkan tahap gula dalam darah.
Serat yang terdapat di dalam bendi mampu mencegah penyakit diabetes.
Makanan yang tinggi serat adalah penting dalam pilihan pemakanan untuk diabetes.
Pengambilan serat pemakanan dikatakan mampu merangsang kawalan glisemik lebih baik dan memperbaiki kepekaan terhadap insulin.