Beberapa bulan lalu, saya ada membaca luahan pengirim Lurus Bendul dalam ruangan Pendapat Pembaca keluaran September mengenai bendul yang sudah hilang warnanya.
Namun, tanpa disangka bendul yang pudar warnanya itu memang nyata ada dan kali ini saya sendiri mengalami apa yang terjadi kepada penulis sebelumnya.
Saya berpendapat bendul-bendul ‘ajaib’ seperti ini memang banyak di jalan-jalan kita yang belum diambil tindakan oleh pihak berwajib untuk menangani masalah tersebut.
Ketika kejadian, saya memandu menuju ke kawasan Kiarong dan tiba-tiba kami berteriak kerana kereta seolah-olah ‘terbang’, dengan kepala isteri saya terhentak akibat kejadian itu. Nasib baik anak kami di belakang memakai tali pinggang keledar.
Selepas diperiksa, rupanya ada bendul ‘ajaib’ yang cat kuningnya sudah pudar.
Bayangkan, walaupun pada kelajuan yang perlahan, keadaan di dalam kereta sudah menjadi kucar-kacir kerana saya tidak sempat menekan brek, apatah lagi jika berada pada kelajuan sederhana atau tinggi.
Oleh itu, saya memohon pihak yang berkenaan agar melakukan tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.
Keretaku Terabang