BARCELONA, 10 APRIL – Banyak tanggungjawab terletak di ‘kaki’ penyerang Benfica, Goncalo Ramos, yang berhasrat untuk melonjak pasukannya mengatasi Inter Milan dan ke separuh akhir Liga Juara-juara buat kali pertama sejak 1990.
Penyerang itu semakin terbiasa dengan tekanan, bermula semasa Piala Dunia Qatar apabila dia dipilih oleh pasukan Portugal mendahului Cristiano Ronaldo dalam pusingan 16 terakhir menentang Switzerland.
Ramos mencipta hatrik ketika negaranya membelasah lawan mereka 6-1, melonjak menjadi tumpuan selepas membuat penampilan sulung antarabangsanya hanya beberapa minggu sebelum itu, dalam perlawanan persahabatan.
Pada bulan Mac, penyerang itu mempamerkan aksi memukau menentang Club Brugge dalam perlawanan kedua 16 terakhir Liga Juara-juara, menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-1 untuk membimbing Benfica ke suku akhir untuk musim kedua berturut-turut.
Penyerang berusia 21 tahun itu menjadi tumpuan serangan, telah memainkan peranan sokongan kepada Nunez dan yang lain sejak membuat penampilan sulung pada 2020.

Ramos datang melalui akademi Seixal yang dikagumi Benfica selepas menyertai kelab itu pada usia 12 tahun, dan bertahun-tahun kemudian banyak gergasi Eropah mengejarnya.
Penyerang itu telah dikaitkan dengan Real Madrid, Manchester United dan Chelsea sejak akhir-akhir ini, manakala Patrick Kluivert mengesyorkan bekas pasukannya, Barcelona untuk menandatanganinya.
“Saya sangat berpuas hati dengan Gonçalo Ramos, tetapi bukan sahaja untuk apa yang dia lakukan menentang Club Brugge,” kata jurulatih Benfica, Roger Schmidt pada Mac.
“Saya suka sikap yang dia pamerkan kepada pasukan. Dia masih muda, dia menjaringkan gol dalam Liga Juara-juara, jadi ia adalah perkara biasa untuk dia menarik perhatian kelab lain.” – AFP

