PHILADELPHIA, 25 JUN – Benfica menewaskan Bayern Munich 1-0 dalam Piala Dunia Kelab kelmarin untuk mara ke pusingan 16 terakhir sebagai juara kumpulan, manakala pasukan kecil, Auckland City, mencatat keputusan seri menentang Boca Juniors.
Andreas Schjelderup menjaringkan satu-satunya gol dalam pertembungan Kumpulan C untuk Benfica di hadapan 33,287 penyokong di Charlotte, menamatkan saingan buat kali pertama hasil dorongan bola rakan senegaranya dari Norway, Fredrik Aursnes pada minit ke-13.
Juara Jerman itu, yang menempatkan pemain seperti Harry Kane dan Michael Olise di bangku simpanan pada sepak mula, tidak dapat bangkit kembali dalam keadaan petang yang panas terik di Carolina Utara.
Kane dan Olise kedua-duanya masuk selepas separuh masa dan Bayern kelihatan lebih berbahaya, tetapi percubaan Leroy Sane berjaya digagalkan oleh penjaga gol Benfica dari Ukraine, Anatoliy Trubin.
Keputusan seri akan membolehkan Bayern mendahului kumpulan tetapi percubaan Kimmich yang menembusi gawang gol telah ditarik balik kerana ofsaid dan Trubin menafikan Sane sekali lagi manakala Kane pula telah mensia-siakan tandukan dari jarak dekat.
Ia merupakan kemenangan pertama Benfica dalam 14 pertemuan kompetitif dengan pasukan Bavaria itu dan ini bermakna mereka menduduki tempat pertama dalam kumpulan dan seterusnya akan menentang naib juara Kumpulan D – sama ada Chelsea atau Esperance – di Charlotte pada pusingan 16 terakhir pada Sabtu.
“Saya rasa ini adalah kemenangan yang sangat adil dan penting, sungguh bersejarah,” kata jurulatih Benfica, Bruno Lage.
“Kami berterus terang dan tegas seperti yang sepatutnya dan saya fikir kami berjaya dalam menyampaikan strategi kami hari ini,” tambahnya. – AFP


