Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Seramai 29 penjawat awam dari negara anggota ASEAN, Timor Leste dan Sekretariat ASEAN termasuk 12 peserta Negara Brunei Darussalam dari pelbagai kementerian hari ini telah menyertai Bengkel Strengthening Goverment Strategies on Mental Health and Well-Being towards Work-Life Balance in Public Sector.
Bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Jun 2024 di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, itu akan difasilitasi oleh Pertubuhan Pembangunan Manusia ASEAN (AHDO) yang bertujuan untuk mengumpulkan isu, berkongsi amalan terbaik dan strategi berkaitan dengan keseimbangan kerja-kehidupan dan kesihatan mental, serta kesannya terhadap prestasi sektor awam.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan bengkel berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman. Turut hadir, Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh selaku penyelaras agensi dan pegawai kerajaan.
Bengkel berkenaan dijangka akan menghasilkan draf definisi piawai dan prinsip panduan keseimbangan kerja-kehidupan dalam sektor awam yang seterusnya boleh digunakan sebagai rujukan oleh negara-negara yang mengambil bahagian setelah mendapat pengesahan.
Bengkel di bawah pengendalian ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) juga menyediakan platform dalam talian untuk para peserta bengkel dari negara-negara yang terlibat.