Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel AICHR perkukuh usaha keamanan, hak asasi manusia

    JAKARTA, 13 OGOS – Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang diketuai Malaysia bersama Indonesia dan Thailand, hari ini telah memulakan siri bengkel selama tiga hari di Jakarta mengenai pencegahan konflik, pembinaan keamanan dan hak asasi manusia.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar, siri bengkel yang berlangsung dari hari ini hingga 15 Ogos itu merupakan sebahagian daripada Program Latihan Serantau AICHR mengenai Hak Asasi Manusia – Bengkel Mengenai Persimpangan Antara Konflik dan Hak Asasi Manusia: Laluan dan Pendekatan ke Arah Keamanan di ASEAN.

    “Tiga bengkel di Jakarta itu akan membincangkan tentang mekanisme pencegahan konflik dan pembinaan keamanan, rangka kerja dan pendekatan keamanan antarabangsa serta perlindungan hak asasi manusia bagi semua pihak dalam situasi konflik, di samping menggunakan simulasi kajian kes untuk meneroka aplikasi praktikal inisiatif keamanan ASEAN,” menurut kenyataan itu.

    Kementerian Luar turut memaklumkan sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada program enam bahagian bagi membangunkan rangka kerja ASEAN untuk pencegahan konflik, pengurusan krisis dan pembinaan keamanan selaras dengan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama yang diterima pakai pada 26 Mei lalu.

    “Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada agenda keterangkuman dan kemampanan Malaysia bagi mempromosi dan memelihara keamanan serta keselamatan serantau sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” menurut kenyataan itu.

    Para peserta terdiri daripada wakil ASEAN, diplomat, ahli akademik, pengantara keamanan, pakar dan anggota masyarakat madani.

    Bengkel itu diadakan bertujuan bagi menggalakkan dialog, perkongsian amalan terbaik dan mengukuhkan pendekatan kerjasama untuk memajukan pendekatan keamanan yang inklusif dan berasaskan hak asasi di seluruh rantau ini, kata kenyataan itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda