Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah telah meneruskan lagi siri Bengkel Menyempurnakan Jenazah, hari ini, dengan penyertaan seramai 24 orang Muslimah dari Kelas Bimbingan Muslimah di Daerah Brunei dan Muara.
Bengkel bagi fasa ketiga itu diadakan di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi dan dikendalikan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dan ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.
Hadir selaku penyampai bengkel berkenaan ialah dua orang penggapai iaitu Dayang Azizah binti Haji Sulaiman dan Dayang Hajah Siti Animi bin Haji Salleh selaku pemudah cara bengkel.
Bengkel diadakan untuk menambahkan lagi pengetahuan para Muslimah melalui penerangan secara teori dan praktikal mengenai tatacara pengurusan dan penyempurnaan jenazah.
Di samping itu, ia juga diadakan bagi meningkatkan keyakinan para peserta untuk mengendalikan pengurusan jenazah dengan betul.
Bengkel juga dihasratkan menarik minat para Muslimah masjid untuk menubuhkan kumpulan penggapai di masjid-masjid sekali gus memudahkan orang ramai untuk mendapatkan khidmat penggapai.


