Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel ajar urus jenazah dengan betul

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Muslimah mewakili 35 buah masjid telah menyertai Bengkel Penyempurnaan Jenazah Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara bagi fasa kedua dan ketiga yang telah diadakan pada Mei dan Jun lalu.

    Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah telah mengadakan majlis penyampaian sijil bagi para peserta bengkel berkenaan, yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Asbi yang menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta.

    Bengkel yang diadakan di keempat-empat daerah mengikut jadual yang telah ditetapkan itu merupakan usaha dalam memberikan ilmu pengetahuan dan tatacara mengenai pengurusan dan penyempurnaan jenazah dengan lebih mendalam, secara teori dan praktikal kepada para Muslimah masjid.

    Ia diharap akan dapat meningkatkan lagi kefahaman dan keyakinan serta keberanian diri para Muslimah masjid dalam hal ehwal pengurusan jenazah.

    Bengkel juga untuk menggalakkan penglibatan aktif dan sukarela para Muslimah masjid dalam hal ehwal kemasyarakatan.

    Selain itu, ia juga diadakan untuk menarik minat para Muslimah agar menubuhkan kumpulan penggapai di masjid masing-masing untuk memudahkan orang ramai dan para penduduk kampung terutama yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapatkan khidmat penggapai untuk mengurus dan menyempurnakan jenazah.

    Datin Hajah Nahriah hadir selaku tetamu kehormat. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Sebahagian peserta semasa melakukan aktiviti praktikal. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda